Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan/ puan.
Saya ada persoalan berkenaan maslahah faraid. Ibu saya pernah menghadiahkan sebuah dapur dan sebuah kabinet kepada arwah nenek saya dimana peralatan itu berharga RM2000 lebih kurang 20tahun yang lalu. Setelah nenek saya meninggal dunia, dapur itu telah dikembalikan kepada ibu saya oleh adik lelaki ibu saya dan kabinet diambil oleh adik lelaki ibu saya. Untuk pengetahuan pihak tuan/ puan, nenek saya telah meninggal dunia pada awal tahun 2000. Ibu saya mempunyai seorang saudara lelaki seibu sebapa dan 4 orang saudara perempuan seibu sebapa.
1. Adakah perlu dapur ini di faraid kan? Ini kerana, baru-baru ini salah seorang dari adik ibu saya telah memberitahu bahawa dapur itu perlu di faraidkan. Untuk pengetahuan pihak tuan, adik beradik ibu saya yang lain menegaskan bahawa dapur itu tidak perlu di faraidkan dan bersepakat dapur itu dipulangkan semula kepada ibu saya.
2. Jika ibu saya ingin membuat faraid dapur tersebut, adakah nilai yang perlu di faraid kan hendaklah mengikut nilai semasa barang atau perlu mengikut nilai barangan itu dibeli? Perlu susut nilai atau tidak.
3. Jika tidak keberatan, bolehkah pihak tuan/ puan memberikan pencerahan berkenaan faraid berkenaan harta pusaka barangan peribadi seperti perabot, pakaian, pinggan mangkuk dan alatan kelengkapan. Adakah wajib di faraid kan atau sekadar dibahagikan sesama waris atas persetujuan semua waris?
Penjelasan dari pihak tuan/ puan amatlah saya hargai dan saya dahulukan dengan jutaan terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Untuk pengetahuan pihak tuan, semua harta atau benda yang dimiliki oleh si mati semasa hidup menjadi harta pusaka kepada pewarisnya yang masih ada. Ahli-ahli waris seperti ibu, ayah, isteri atau anak-anak si mati berhak mewarisi harta peninggalan si mati mengikut pembahagian yang telah ditetapkan.
Sekiranya barang tersebut mempunyai nilai dan berharga perlulah diisytiharkan kepada semua waris yang berhak untuk dinilai semula dan dijual. Hasil jualan tersebut hendaklah dibahagiakan secara faraid kepada semua ahli waris.
Namun, jika barang tersebut tidak mempunyai nilai seperti perkakas dapur, pinggan mangkuk, periuk dan lain-lain maka berbincanglah secara baik bersama ahli-ahli waris bagaimana cara pembahagian yang boleh dibuat dalam keadaan redha meredhai antara satu sama lain. Sekiranya tidak wujud kesepakaatan antara semua ahli waris maka barangan tersebut bolehlah djual dan hasil jualan tersebut dibahagikan secara faraid kepada semua ahli waris.
Faktor utama dalam pembahagian seperti ini adalah bertolak ansur dan ada sifat tanggungjawab dalam memastikan tidak ada unsur kepentingan peribadi dan tidak tamakkan diri sendiri sehingga semua perkara perlu diperincikan mengikut pembahagian secara faraid.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.