Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz,
Setelah seorang Ibu meninggal Dunia, beliau meninggalkan sebuah rumah kepada anak anak nya seramai 7 orang yang semuanya sudah berkahwin. Beliau berpesan untuk tidak menjual rumah tersebut Dan jadikan rumah itu sebagai tempat berkumpul adik beradik. Buat masa ini, Salah seorang dari anak Lelaki tinggal disitu bersama keluarganya. Persoalannya adakah wajib untuk waris melaksanakan faraid keatas rumah itu. Sekiranya mereka cuma membiarkan harta itu tanpa pembahagian, adakah simati dihukum di Alam sana. Kesemua adik beradik sepakat untuk tidak menjual rumah itu. Baru Baru ini, Salah seorang anak Lelaki telah meninggal Dunia , meninggalkan 2 orang anak. Apakah Hak mereka?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan, menghormati ibu adalah suatu yang dituntut. Pesanan ibu untuk tidak menjual rumah tersebut dan menjadikannya rumah pusaka untuk adik-beradik berkumpul adalah baik untuk diikuti. Tidak wajib untuk menfaraidkan rumah tersebut seandainya semua waris tanpa terkecuali setuju untuk tidak berbuat sedemikian dan ibu tidak akan dihukum kerana perkara tersebut.
Walau bagaimanapun, untuk melaksanakan pesanan tersebut, beberapa perkara perlu diputuskan oleh semua waris berhubung “bersetuju untuk tidak menjual rumah tersebut”, agar status rumah tersebut menjadi jelas. Terdapat beberapa keadaan yang boleh dan perlu diputuskan, dan kesan hukum atau status rumah tersebut berbeza mengikut pilihan yang dibuat.
1. Semua waris tanpa terkecuali bersetuju untuk menjadikan rumah tersebut sebagai wakaf kepada ahli keluarga mereka. Ini bermakna rumah tersebut boleh dimanfaatkan oleh sesiapa sahaja dari kalangan keluarga mereka yang memerlukan. Seandainya terdapat di antara waris (adik-beradik) meninggal dunia, waris si mati berhak untuk memanfaatkan rumah tersebut seperti waris yang lain tanpa difaraidkan.
2. Semua waris tanpa terkecuali bersetuju untuk berkongsi milik terhadap rumah tersebut tanpa mewakafkannya. Ini bermakna setiap waris berhak terhadap rumah tersebut. Semua waris boleh bersetuju untuk membenarkan sesiapa sahaja tinggal di rumah tersebut tanpa mengambil sebarang balasan/sewa atau sebaliknya. Apabila salah seorang dari waris (adil-beradik) meninggal dunia, maka waris (anak-anak) si mati berhak terhadap rumah tersebut berdasarkan bahagian yang si mati (bapa/ibu) berhak mendapatnya. Walaupun ketika hidup si mati tidak meminta hak sewaan itu, ini tidak bermakna hal tersebut akan berterusan terhadap waris si mati.
Walaupun pada asalnya para waris yang mewarisi rumah tersebut tidak mahu memfaraidkannya, namun bagi mengenal pasti kadar yang waris si mati berhak, maka wajiblah memfaraidkan rumah tersebut. Sesiapa yang tinggal di rumah tersebut dianggap sebagai penyewa terhadap bahagian yang bukan miliknya. Sebagai contoh, jika semua waris adalah lelaki, maka bahagian setiap dari mereka adalah 1/7. Diandaikan sewa semasa rumah tersebut adalah RM700 sebulan, maka sesiapa yang tinggal di rumah tersebut perlu membayar RM100 kepada setiap waris. Mereka berhak untuk meminta atau menghalalkannya. Namun bagi bahagian si mati, ia perlu diberikan kepada ahli waris si mati, lebih-lebih lagi sekiranya mereka masih di bawah umur. Tanazul mereka adalah tidak sah sehingga mereka dewasa.
3. Walaupun pada asalnya, memenuhi tuntutan pesanan ibu suatu yang baik untuk diikuti, namun ia bukanlah suatu kewajipan. Jika terdapat keadaan tertentu yang mendesak seperti berlaku perselisihan di antara waris dan sebagainya, maka rumah tersebut perlu dijual dan hasil jualan hendaklah dibahagikan berdasarkan bahagian masing-masing.
Setiap waris boleh menjual bahagianya kepada waris yang lain. Mana kala bagi bahagian anak yatim pula, pemegang amanah yang menjaga anak yatim tersebut tidak dibenarkan untuk menjual bahagian mereka melainkan sekiranya tiada sumber lain bagi nafkah mereka, atau bagi tujuan membayar hutang si mati. Sekiranya terdapat keperluan untuk menjual bahagian mereka, ia perlu dijual dengan harga semasa atau lebih tinggi.
والله اعلم بالصواب