Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum..
Mohon Pencerahan Ustaz,
Sebaik-baik solat ialah mengerjakan diawal waktu yakni sejurus selepas azan berkumandang..
Soalan saya bolehkah kita solat mengambil waktu bekerja contoh solat waktu zohor pukul 12.20 tgh sedangkan kita ada diperuntukan waktu rehat pukul 1.00 tgh hingga 2.00 ptg.
Bolehkah saya mengganti masa yang telah saya ambil untuk mengerjakan solat sebelum waktu rehat yakni masuk kerja lebih awal contoh mula kerja 8.00 pg tapi saya masuk pejabat dan mula bekerja 7.30 pg.
Tiada kerja yang perlu dilaksanakan waktu azan berkumandang yakni kerja telah diselesaikan.
Sekian, terima kasih atas pencerahan.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Solat pada waktunya adalah suatu yang dituntut di dalam Islam ke atas setiap mukallaf . Ini berdasarkan riwayat hadis yang banyak, antaranya Rasulullah SAW pernah ditanya oleh Abdullah ibnu Mas'ud RA:
أَيُّ العَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ؟ قَالَ: «الصَّلاَةُ عَلَى وَقْتِهَا» قَالَ: ثُمَّ أَيٌّ؟ قَالَ: «بِرُّ الوَالِدَيْنِ» قَالَ: ثُمَّ أَيٌّ؟ قَالَ: «الجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ» قَالَ: حَدَّثَنِي بِهِنَّ، وَلَوِ اسْتَزَدْتُهُ لَزَادَنِي
Bermaksud: "Apakah amalan yang paling dicintai disisi Allah SWT? Nabi menjawab “Solat pada waktunya”. Dia (Abdullah ibnu Mas'ud) bertanya lagi, kemudian apa, jawab Baginda “berbuat baik kepada kedua ibu bapa”. Dia bertanya lagi kemudian apa, jawab Baginda “Jihad pada jalan Allah SWT”
(Riwayat al-Bukhari)
Oleh sebab itu, kita sewajarnya berusaha untuk solat pada dalam waktunya dan solat pada awal waktu adalah paling afdhal.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, solat zohor pada jam 12.20 tengahari ketika waktu kerja adalah sah jika telah yakin telah masuk waktu. Adalah disarankan kepada tuan meminta izin daripada pihak majikan terlebih dahulu untuk solat pada awal waktu dengan jaminan bahawa tugasan telah diselesaikan atau jaminan tidak akan menjejaskan tugasan yang diberi. Adapun masuk kerja lebih awal dengan tujuan menggantikan masa yang digunakan untuk solat adalah perkara yang baik. Ia boleh digunakan sebagai alasan kepada pihak majikan sekiranya mereka tidak membenarkan tuan untuk solat pada awal waktu.
Namun seandainya pihak majikan tidak membenarkan, maka diharuskan menangguh solat terlebih dahulu sehingga tiba waktu rehat kerana waktu solat adalah luas (muwassa') selagi belum tamat waktunya.
والله أعلم بالصواب