BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,saya sering solat fardhu berulang Kali pada satu waktu kerana ada lintasan hati.menurut para ulamak tidak sah Dan Haram,soalanya adakah solat pertama saya sah?

Masa itu saya tak tahu bahawa tidak boleh solat Dua Kali Dan saya jugak tidak tahu tentang lintasan hati,jadi bila lintasan hati tu datang saya ingat saya sendiri bercakap dan rasa berdosa,adakah boleh jikalau dalam keadaan demikian untuk solat 2 Kali? 

Kalau tidak boleh? adakah saya berdosa tetapi saya tidak tahu tindakan itu tidak dibenarkan dalam islam?mohon pencerahan ya ustaz

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Hukum asal mengulang solat fardhu tanpa sebab atau keperluan adalah makruh. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:  

«لَا تُصَلُّوا صَلَاةً فِي يَوْمٍ مَرَّتَيْنِ»

Bermaksud: “Janganlah kamu solat (fardhu) di dalam sehari sebanyak 2 kali”.

(Riwayat Abu Dawud)

Walau bagaimanapun, mengulang solat fardhu adalah sunat di dua keadaan berikut:

1. Untuk mendapatkan pahala berjemaah, sekiranya sebelum itu telah bersolat secara bersendirian. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Yazid RA bahawa dia berkata:  

شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَاةَ الْفَجْرِ فِي مَسْجِدِ الْخَيْفِ، فَلَمَّا قَضَى صَلَاتَهُ إِذَا هُوَ بِرَجُلَيْنِ فِي آخِرِ الْقَوْمِ لَمْ يُصَلِّيَا مَعَهُ قَالَ: «عَلَيَّ بِهِمَا». فَأُتِيَ بِهِمَا تَرْعَدُ فَرَائِصُهُمَا فَقَالَ: «مَا مَنَعَكُمَا أَنْ تُصَلِّيَا مَعَنَا؟» قَالَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا قَدْ صَلَّيْنَا فِي رِحَالِنَا. قَالَ: «فَلَا تَفْعَلَا، إِذَا صَلَّيْتُمَا فِي رِحَالِكُمَا، ثُمَّ أَتَيْتُمَا مَسْجِدَ جَمَاعَةٍ فَصَلِّيَا مَعَهُمْ، فَإِنَّهَا لَكُمَا نَافِلَةٌ»

Maksudnya: Aku menghadiri solat Subuh bersama Rasulullah SAW di Masjid al-Khaif. Tatkala Baginda selesai solat, Baginda melihat dua orang lelaki di bahagian belakang yang tidak solat bersama Baginda. Baginda bersabda: “Mengapa kalian tidak solat bersama kami?” Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah, kami telah solat di tempat permusafiran kami. “Jangan buat begitu. Jika kalian telah solat, dan kalian datang ke masjid dan mendapati solat jemaah sedang berlangsung, hendaklah kalian solat bersama mereka, dan ia akan menjadi solat sunat bagi kamu”.

2. Untuk membantu orang lain mendapatkan pahala berjemaah, walaupun sebelum dari itu telah solat berjemaah. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudri bahawa dia berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْصَرَ رَجُلًا يُصَلِّي وَحْدَهُ، فَقَالَ: أَلَا رَجُلٌ يَتَصَدَّقُ عَلَى هَذَا فَيُصَلِّيَ مَعَهُ 

Maksudnya: “Rasulullah SAW melihat seorang lelaki solat secara sendirian, maka Baginda bersabda: “Tidak adakah seseorang yang boleh bersedeqah (pahala) kepadanya, dan solat bersamanya?”

(Riwayat Abu Dawud)

Merujuk kepada soalan yang diajukan, mengulang solat kerana berasa was-was bukan di dalam kategori yang diharuskan. Hukumnya adalah makruh dan sayugia untuk tidak dilakukan. Walau bagaimana pun, sekiranya ia dilakukan, solat yang pertama tetap sah sekiranya ia memenuhi semua rukun dan syarat sah solat, serta tiada perkara yang menghalang dari sahnya solat.

Berhubung perasaan was-was yang tuan alami, di dalam al-Quran, perkataan was-was selalu digandingkan dengan syaitan. Ini memberikan isyarat bahawa was-was itu adalah merupakan bisikan daripada syaitan. Bisikan dan hasutan ini sedaya mungkin dilakukan oleh syaitan sehingga pada satu tahap ia boleh membawa kepada keraguan. Firman Allah SWT dalam surah Fussilat ayat 36:

   وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya : “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.

Antara amalan yang boleh dilakukan adalah memulakan solat dengan membaca basmalah, isti'adzah serta doa meminta perlindungan dari Allah SWT:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

أَعُوذُ بِاَللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: "Aku berlindung dengan Allah dari Syaitan yang direjam".

رَبِّ أَعُوذُ بِك مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ، وَأَعُوذُ بِك رَبِّ أَنْ يَحْضُرُونِ

Maksudnya: "Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan. Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau Ya Tuhanku, dari kedatangan mereka kepadaku". (Surah Al-Mu'minun: 97-98).

Setelah habis solat, jika datang lintasan dalam hati dan timbul rasa was-was, ingatlah ketika itu syaitan sedang mempermainkan kita. Banyakkanlah beristighfarlah, tetapkan dalam hati bahawa kita yakin telah solat, dan tidak perlu mengulanginya lagi. Abaikan lintasan tersebut dan ingat akan hadis Rasulullah SAW yang bersabda:  

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ

Maksudnya : “Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu”. (Riwayat al-Tirmizi)

والله اعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 178

message user image