Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum waramatullahi wabarakatuh.
Untuk makluman, ibu bapa saya masih belum Islam. Saya ingin tahu sekiranya mereka meninggal dunia,
1) Harta mereka boleh tak saya terima / mewarisi ?
2) Boleh tak saya membayar duit pembelian keranda dan kos penghantaran mayat ?
3) Boleh tak saya membayar duit pembakaran mayat ? Agama mereka tidak perlu membakar, pilih membakar sebab kos lebih rendah.
Sekian, terima kasih.
Wassalammualaikum.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Dalam masa yang sama, Islam juga tidak nafikan bahawa setiap manusia ingin melakukan yang terbaik untuk ahli keluarga mereka, terutama apabila berlaku kematian. Ini kerana kematian merupakan perpisahan yang abadi antara orang yang hidup dengan orang yang mati. Sebagai tanda penghormatan terakhir kepada si mati adalah menguruskan kematianya sebaik mungkin. Meskipun begitu, bagi kita, walaupun kasih terhadap keluarga bukan Islam sentiasa ada, namun perbezaan anutan agama menyebabkan kita mempunyai batasan, ketika menguruskan upacara pengebumian jenazah ahli keluarga yang bukan Islam.
Merujuk kepada persoalan tuan, menurut mazhab Shafie, perwarisan harta daripada orang bukan Islam kepada waris yang Islam adalah tidak dibenarkan. Sepertimana Sabda Nabi SAW, daripada Usamah bin Zaid R.A :
Maksudnya: Tidak mewarisi seorang Muslim daripada seorang kafir dan tidak mewarisi seorang kafir daripada seorang Muslim. (Riwayat al-Bukhari)
Namun, harta tersebut boleh dimiliki dengan cara dihadiahkan sebagai pemberian (hibah) atau wasiat oleh ibu bapa yang belum beragama Islam, maka dibenarkan memiliki harta pusaka tersebut.
Seterusnya, tidak salah membayar duit pembelian keranda dan kos penghantaran mayat bukan Islam, lebih-lebih lagi kematian itu melibatkan ahli keluarga terdekat (ibu bapa). Bahkan hukumnya harus, hal ini kerana, Islam amat menitikberatkan hubungan yang harmoni sesama manusia walaupun berlainan agama dan bangsa. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Mumtahinah, ayat 8:
Maksudnya : Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.
Manakala membayarkan kos pembakaran mayat adalah tidak dibenarkan menurut syarak. Ini adalah kerana Islam melarang umatnya dari berbuat sesuatu yang boleh memudharatkan mayat, walaupun mayat tersebut bukan beragama Islam. Inikan pula membakarnya. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Bermaksud: Mematahkan tulang mayat, sama seperti dengan mematahkan tulangnya ketika ia masih hidup. (Riwayat Abu Daud)
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.