BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

ASSALAMUALAIKUM, SAYA TELAH DIBERI TANGGUNGJAWAB OLEH MAJIKAN UNTUK MENCARI TIGA SEBUTHARGA UNTUK PEMBELIAN STOK, SAYA TELAH MENCARI NAMUN TIDAK BERJAYA KERANA STOK TERSEBUT ADALAH TERHAD DI TEMPAT SAYA. ADA SYARIKAT YANG MENYEDIAKAN SEBUTHARGA TERLALU MAHAL(SYARIKAT TIDAK CUKUP BAJET)  DAN ADA JUGA YANG TIDAK MEMBERI RESPON UNTUK PENYEDIAAN SEBUTHARGA. MASA SEMAKIN SINGKAT UNTUK SAYA UNTUK MEMBUAT PEROLEHAN STOK TERSEBUT(MESTI SIAP TAHUN SEMASA) KERANA BEKALAN STOK TERSEBUT MENGAMBIL MASA TERLALU LAMA. OLEH ITU SAYA TELAH MEMINTA KAWAN SAYA SENDIRI(ADA SYARIKAT SENDIRI) UNTUK MENYEDIAKAN SEBUTHARGA, UNTUK MEMPERCEPATKAN PEROLEHAN INI. APA PANDANGAN TUAN MENGENAI PERKARA INI?

UNTUK PERTANYAAN KEDUA, SAMBUNGAN SITUASI DARIPADA PERENGGAN DI ATAS, KAWAN SAYA INGIN MEMBERI DUIT KEUNTUNGAN HASIL DIA MARK UP HARGA STOK TERSEBUT. NAMUN SAYA TELAH MENOLAK KERANA SAYA TAHU IA ADALAH HARAM. TETAPI DIA MEMAKSA UNTUK MENERIMA DUIT TERSEBUT. JIKA SAYA MENERIMA DUIT TERSEBUT DAN DISEDEKAHKAN SEMUANYA KE MASJID ATAU AMAN PALESTINE..ADAKAH DIBOLEHKAN? MOHON PANDANGAN TUAN. TERIMA KASIH. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Berkaitan mencari 3 sebutharga dari syarikat yang berbeza, tiada halangan untuk mengambil sebutharga yang tiggi sebagai salah satu perbandingan harga dan bagi mencukupi keperluan mendapatkan 3 sebutharga tersebut. Begitu juga tiada halangan meminta kawan menyediakan sebutharga seandainya dia benar-benar berkelayakan untuk menyediakan sebutharga.  

Berkaitan perbuatan menaikkan harga atau mark up tanpa persetujuan dari pihak syarikat, kami mulakan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 188:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Perbuatan yang dilakukan oleh tuan itu dikira menipu dan merupakan salah satu cara mengambil harta dengan cara yang salah sebagaimana yang dinyatakan oleh ayat di atas. Adalah jelas perbuatan mark up harga dari kawan tuan pastinya memberi gambaran telah berlaku manipulasi harga sehingga merugikan pihak syarikat tuan. Sepatutnya tuan merancang perolehan ini dengan baik sebagaimana peraturan sedia ada. 

Perbuatan tersebut dianggap sebagai suatu pengkhianatan kepada pihak syarikat yang telah memberi amanah pekerjaan kepada kita. Mengkhianati amanah yang diberikan merupakan salah satu dari tanda-tanda munafiq sebagai mana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasullullah SAW bersabda:

آيَةُ المُنَافِقِ ثَلاَثٌ: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

Bermaksud: “Tanda orang munafik itu ada tiga: jika berbicara dia berdusta, dan jika berjanji dia tidak menepati, dan jika diberi amanah dia khianati”.

Berkaitan menerima wang daripada sahabat tuan hasil mark up harga tersebut diangap sebagai bersubahat di dalam perkara kemungkaran dan dosa sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Maidah: 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Bermaksud: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan".

Perbuatan tersebut adalah suatu kesalahan yang boleh membawa kepada gejala rasuah dan hendaklah dihentikan. Tuan perlu menolak pemberian wang tersebut walaupun dipaksa. Pulangkan semula wang tersebut kepada kawan tuan jika telah menerimanya. Wang yang diterima dari hasil mark up tersebut adalah milik syarikat. Ia perlu diserahkan kepada syarikat atau meminta keizinan untuk mengambilnya. Tindakan memberi wang tersebut kepada masjid sebagai sedekah dianggap menggunakan wang orang lain tanpa izin.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 141

message user image