Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam ustaz. Saya telah membina rumah baru.Rumah tersebut telah selesai di cat. Saya ada bertanya kepada tukang cat rumah saya berkaitan penggunaan berus bulu babi, jawapannya tidak menggunakannya. Selang beberapa hari, Sewaktu saya mencuci rumah tersebut, saya ada terjumpa sehelai bulu yang meragukan. Saya pun bawa pulang ke rumah sewa. Saya cuba mencari info berkaitan bulu tersebut, saya terjumpa info berkaitan bulu babi iaitu bercabang di hujung dan apabila terbakar bau yang dikeluarkan sama seperti rambut terbakar. Saya lihat dan cuba pada bulu tersebut seakan sama. Apa yang perlu saya lakukan? Adakah ia membuktikan bulu tersebut adalah bulu babi. Mohon petunjuk ustaz. Sekian terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, Islam tidak memaksa melakukan sesuatu yang di luar kemampuannya. Walau bagaimana ia tidak bererti mempermudah-mudahkan. Anda tidak perlu sertu, kerana perbuatan menyertu tidak memberi kesan apa-apa (cat bersifat kalis air). Ia juga tidak menyebabkan air itu bernajis. Ini lebih kepada perasaan was-was yang perlu dirawat/dihindari daripada terus berlaku yang boleh menjadi bertambah serius (menjadi penyakit). Justeru disyorkan untuk menghilangkan was-was anda, cat semula dan pastikan tidak menggunakan berus daripada bulu babi. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.