Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan Mufti. Saya ada satu kemusykilan. Saya selalu tidak khusyuk dalam solat walaupun saya dah cuba untuk kekal khusyuk. Pertamanya semasa duduk antara dua sujud. Saya khusyuk semasa ingin sujud yang pertama, selepas itu fikiran saya melayang sampailah saya berdiri semula untuk baca Al-fatihah pada rakaat berikutnya. Semasa membaca Al-fatihah pada rakaat berikutnya, saya terfikir "aku dah ke belum duduk antara dua sujud dengan sujud kedua tadi?". Sangat selalu jadi begini. Adakah saya perlu sujud semula atau anggapnya sebagai was-was dan tidak perlu layan serta teruskan solat. Keduanya, semasa membaca Al-fatihah atau baca tahiyat akhir. Semasa membaca "attahiyatulmubarakatu" saya masih khusyuk. Kemudian fikiran saya melayang. Saya sedar semula semasa "fil alamina innaka hamidummajid". Adakah perlu saya mengulangi bacaan tersebut kerana dikira tidak membaca tahiyat akhir dan selawat ke atas nabi? Terima kasih tuan mufti.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, perkara pertama yang ingin dijelaskan dan perlu diambil penekanan adalah berkenaan penyakit was-was yang dialami. Penyakit ini sering menjadi masalah sehingga seolah-olah menjadi penghalang untuk melakukan semua tindakan. Justeru pelajarilah cara untuk menghindarinya dengan yakin dan istiqomah agar hati lebih tenang.
Di dalam al-Quran, perkataan was-was selalu digandingkan dengan syaitan. Ini memberikan isyarat bahawa was-was itu adalah merupakan bisikan daripada syaitan. Bisikan dan hasutan ini sedaya mungkin dilakukan oleh syaitan sehingga pada satu tahap ia boleh membawa kepada keraguan. Firman Allah SWT dalam surah Fussilat ayat 36 :
Maksudnya : “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.
Antara cara untuk menghindari daripada bisikan syaitan ialah dengan membaca
Maksudnya : "Aku memohon perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam".
Berbalik kepada persoalan saudara;
1. Tidak perlu sujud semula kerana saudara sedang berada dalam keadaan was-was dan tidak perlu dilayan. Ambil keputusan yang yakin sahaja kerana saudara telah berdiri semula membaca al-Fatihah untuk rakaat seterusnya. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Hasan bin Ali RA cucu Rasulullah SAW, beliau berkata:
Maksudnya : “Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu”. (Riwayat al-Tirmizi)
2. Tidak perlu mengulang semula bacaan tahiyat akhir tersebut kerana telah dikira saudara selesai membacanya.
Banyak kaedah yang telah diajarkan oleh para ulamak bagi menghilangkan penyakit was-was ini antaranya adalah As-Sayyid al-Jalîl Ahmad bin Abi al-Hawârî berkata yang ertinya: “Aku mengadu kepada Abu Sulaimân ad-Dârânî Radhiallahu ‘anhu tentang waswas yang menimpaku. Beliau menjawab: “Jika engkau ingin menghilangkannya, maka apabila saja engkau merasainya, bergembiralah, kerana jika engkau bergembira, waswas itu akan terputus daripadamu. Tidak ada sesuatu yang paling dibenci oleh syaitan daripada kegembiraan orang yang beriman. Jika engkau bersedih hati tentulah waswas itu akan bertambah-tambah lagi menyerang dirimu. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn:)
Antara amalan yang boleh lakukan adalah:
1. Memulakan solat dengan membaca basmalah, isti'adzah serta doa meminta perlindungan dari Allah SWT: Membacanya dengan penuh pengharapan beserta kesedaran di dalam hati:
Bermaksud: "Aku berlindung dengan Allah dari Syaitan yang direjam".
Bermaksud: "Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan. Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau Ya Tuhanku, dari kedatangan mereka kepadaku". (Surah Al-Mu'minun: 97-98)..
2. Melatih diri dengan menghadirkan hati apa yang kita baca. Walaupun tidak keseluruhan apa yang dibaca, memadai dengan makna umum, seperti ketika membaca surah Al-Fatihah kita hadirkan dalam hati meminta hidayah dari Allah SWT, ketika membaca tahiyyat awal kita hadirkan dalam hati kita puji Allah SWT dan bersalawat kepada Rasulullah SAW., ketika duduk di antara dua sujud hadirkan dalam hati meminta keampunan dari Allah SWT dan ketika sujud kita hadirkan dalam hati Allah SWT Maha Suci, dan seterusnya.
3. Selesai dari salam, banyakkanlah beristighfar kepada Allah SWT, moga Allah SWT mengampun sega kesalahan dan menerima solat kita.
الله أعلم بالصواب