BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Menipu ata berhutang duit org kafir..dah taubat nk byr balek tp xtau kt mana..kalo sedekah duit tu mcm mna? Sbb org kafir xdpt pum pahala sedekah tu 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Hutang merupakan satu bentuk perjanjian antara pemiutang dan penghutang, yang telah diperintahkan oleh Allah SWT agar dipatuhi dan dipenuhi. Firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 1 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.

Sighah (lafaz) perintah dalam ayat ini agar memenuhi setiap perjanjian yang dibuat adalah berbentuk mutlaq dan umum, mencakupi perjanjian sesama Islam atau dengan bukan Islam. Mematuhi perjanjian juga merupakan antara sifat seorang mu’min yang sejati, firman Allah SWT dalam Surah al-Mu’minin ayat 8 :

وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ

Maksudnya: (Orang mu’min itu ialah) yang menunaikan amanah dan perjanjian mereka.

Selain itu terdapat banyak hadis yang memberi ancaman terhadap sesiapa yang tidak membayar hutang, antaranya ialah :

1. Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda :

نفسُ المؤمنِ مُعلَّقةٌ بدَيْنِه حتَّى يُقضَى دَيْنُه

Maksudnya: Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dia melunaskannya. (Riwayat At-Tirmidzi)

2. Orang yang berniat untuk tidak mahu melunaskan hutang akan dihukum sebagai pencuri. Hadis daripada Suhaib bin Sinan ar-Rumi RA bahawa Rasulullah SAW bersabda :

أيُّما رجلٍ يَدَّينُ دَينًا وهو مجمعٌ أن لا يوفِّيه إيَّاه لقي اللهَ سارِقًا

Maksudnya: Siapa sahaja yang berhutang lalu berniat untuk tidak mahu melunaskannya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari kiamat) sebagai pencuri. (Riwayat Ibnu Majah)

3. Orang yang berkemampuan tetapi melengahkan pembayaran hutang dianggap sebagai zalim. Bagi orang-orang yang berhutang tetapi melengahkan pembayarannya sedangkan dia mampu untuk membayarnya adalah termasuk sebagai orang yang zalim. Ini jelas berdasarkan daripada hadis daripada  Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَطلُ الغنيِّ ظلمٌ

Maksudnya: Penundaan pembayaran hutang oleh orang yang mampu adalah suatu kezaliman. (Riwayat al-Bukhari)

4. Dosa hutang tidak akan terampun walaupun mati syahid. Hadis daripada Abdullah bin Amru RA bahawa Rasulullah SAW bersabda :

يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إلَّا الدَّيْنَ

Maksudnya: Diampunkan semua dosa bagi orang yang terkorban mati syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia). (Riwayat Muslim)

Merujuk kepada persoalan tuan, cara membayar hutang kepada orang bukan Islam yang tidak diketahui tempat tinggal atau keberadaannya dan tidak dapat dikesan adalah hendaklah diserahkan nilai wang hutang tersebut kepada Baitulmal di Majlis Agama Islam Selangor(MAIS).

Ini kerana, MAIS selaku pemegang amanah harta umat Islam selayaknya menerima pembayaran hutang dengan tujuan untuk menyerahkan harta yang diamanahkan apabila dituntut oleh tuannya. MAIS hendaklah sentiasa membuat hebahan atau penerangan melalui media massa supaya pemiutang atau warisnya dapat menuntut hutang tersebut. Kedudukan penghutang selepas menyerahkan hutang kepada MAIS adalah ia terlepas daripada tanggungjawab membayar hutang sama seperti pembayar zakat yang telah menyerahkan zakatnya kepada amil.

Oleh itu, seluruh umat Islam agar bersungguh-sungguh menyempurnakan pembayaran hutang kepada pemiutang yang memberi pinjaman kepada penghutang. Jika berlaku keadaan yang menyulitkan iaitu pemiutang atau warisnya nya gagal dikesan, maka serahlah kepada Baitulmal MAIS untuk ditadbir mengikut hukum syarak.

Serahan wang orang berhutang boleh dibuat secara tunai di kaunter Baitulmal ibu pejabat atau di pejabat-pejabat agama Islam daerah dalam negeri Selangor atau cek atas nama “Majlis Agama Islam Selangor” atau pindahan wang melalui sistem e-MAIS di http://fpx.mais.gov.my/epay/hutang.php.

Tuan perlu jelaskan kedudukan wang tersebut kepada pihak Baitulmal MAIS agar mereka maklum dan perlu menyerahkan kepada pemberi hutang seandainya mereka menuntutnya di kemudian hari.

Semoga dengan usaha ini diberkati Allah SWT.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 193

message user image