Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz..
Saya nak bertanya adakah melampaui batas jika kita berdoa agar Allah mengurniakan syurga firdaus untuk kita dan seluruh keluarga kita ( suami/ anak2 / ibu bapa dan ibu bapa mertua, adik beradik, anak2 buah dan ipar duai) tanpa hisab.. Sedangkan kita sedar yang kadang-kadang kita leka dan lalai contoh melewatkan solat.. Atau melakukan dosa2 yang tanpa dan kita sedari.
Adakah terdapat kisah-kisah yang menceritakan tentang orang yang memasuki syurga Allah tanpa hisab sedangkan orang itu adalah dari golongan biasa sahaja (bukan tergolong dari kalangan para rasul atau pun alim ulama..)
Saya sedar saya bukan lah hamba Allah yg terbaik tapi saya sedang berusaha utk jadi yang terbaik kerana sy amat takut apabila mendengar kisah2 azab alam barzakh dan azab api neraka..
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد...
Merujuk kepada persoalan puan, doa merupakan suatu amalan dan ibadah yang sangat dituntut dalam Islam. Doa juga sebagai satu alat perhubungan dan komunikasi antara hamba dan penciptanya Allah SWT. Galakan berdoa adalah mencakupi semua aspek kehidupan dan dalam semua keadaan sama ada susah, senang, suka atau pun duka. Apa yang jelas kita akan berdoa untuk memohon segala kebaikan dan megharap redha Allah dalam setiap detik kehidupan. maka adalah tidak menjadi kesalahan bagi kita hamba-Nya memohon syurga-Nya yang tertinggi iaitu syurga Firdaus walaupun kita sedar bahawa hakikatnya kita tidak layak untuk memasukinya atas kesedaran dosa dan salah silap yang banyak dilakukan sebagai seorang hamba. Sebagai seorang hamba, kita sentiasa berharap kepada rahmat dan kasih sayang Allah mudah-mudahan kita di tempatkan di syurga-Nya yang tertinggi. Pada masa yang sama kita perlu berusaha untuk sentiasa menjadi hamba yang sentiasa taat akan perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Justeru,apabila seorang hamba melakukan kesalahan dan bertaubat kepada Allah, sebesar mana pun dosa yang dilakukan, selain daripada syirik, maka Allah SWT Maha Pengampun. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 49 :
نَبِّئْ عِبَادِي أَنِّي أَنَا الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh).
Berkenaan dengan persoalan masuk syurga tanpa hisab, dalam sebuah hadis diriwayatkan daripada Imran bin al-Husain R.A, Nabi SAW bersabda:
يَدْخُلُ الجَنَّةَ مِن أُمَّتي سَبْعُونَ ألْفًا بغيرِ حِسابٍ، قالوا: مَن هُمْ يا رَسولَ اللهِ؟ قالَ: هُمُ الَّذِينَ لا يَسْتَرْقُونَ، ولا يَتَطَيَّرُونَ، ولا يَكْتَوُونَ، وعلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
Maksudnya: “Tujuh puluh ribu dari umatku akan masuk syurga tanpa hisab.” Para sahabat bertanya: “Siapakah mereka wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang tidak minta diruqyah (dengan ruqyah yang syirik), tidak mengamalkan tatayyur, tidak menggunakan pengubatan dengan besi (yang dilarang) dan mereka selalu bertawakkal pada Rabbnya.” (Riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan nas serta kenyataan di atas, dapat difahami bahawa, walaupun seseorang itu pelaku dosa besar dan dia bertaubat, maka dia kemungkinan boleh termasuk dalam golongan yang masuk ke dalam syurga tanpa hisab. Namun, taubat tersebut hendaklah dilakukan dengan sepenuh hati dengan memenuhi segala rukun-rukun dan syarat-syarat taubat. Tiada larangan sama ada nas al-Quran mahupun hadis Nabi SAW tentang larangan memohon doa agar dimasukkan ke syurga tanpa hisab. Malah Allah SWT suka kepada hamba-Nya yang banyak berdoa dan meminta-minta kepada-Nya.
Kita masuk syurga bukanlah kerana amalan kita. Ini kerana amalan kita tidak cukup untuk membalas segala banyaknya nikmat dan kebaikan yang Allah SWT kurniakan kepada kita. Akan tetapi kita masuk syurga adalah disebabkan rahmat dan kasih sayang Allah SAW. Perkara ini dibenarkan oleh Rasulullah SAW sendiri sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«سَدِّدُوا وَقَارِبُوا، وَأَبْشِرُوا، فَإِنَّهُ لَنْ يُدْخِلَ الْجَنَّةَ أَحَدًا عَمَلُهُ» قَالُوا: وَلَا أَنْتَ؟ يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ: «وَلَا أَنَا، إِلَّا أَنْ يَتَغَمَّدَنِيَ اللهُ مِنْهُ بِرَحْمَةٍ، وَاعْلَمُوا أَنَّ أَحَبَّ الْعَمَلِ إِلَى اللهِ أَدْوَمُهُ وَإِنْ قَلَّ»
Bermaksud: "Tujulah (kebenaran), mendekatlah dan bergembiralah bahwa sesungguhnya tidak seorang pun dari kalian yang dimasukkan surga kerana amalnya." Mereka bertanya, "Tidak juga Tuan, wahai Rasulullah?" Nabi SAW menjawab, "Tidak juga aku, kecuali bila Rabb-mu melimpahkan rahmat dan kurnia-Nya kepadaku. Dan ketahuilah bahwa amal yang paling disukai Allah adalah yang berterusan walaupun sedikit." (Riwayat Muslim)
Begitulah juga untuk masuk ke dalam syurga tanpa hisab adalah dengan rahmat serta kasih sayang Allah SWT. Jadi carilah rahmat serta kasih sayang Allah SWT dan bertawakal kepada-Nya.
Antara amalan yang disarankan oleh ulamak untuk dapat masuk ke dalam syurga dengan selamat tanpa hisab antaranya sebagai mana yang diriwayatkan daripada Abdulllah bin Salam bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يَأَيُّهَا النَّاسُ أَطْعِمُوا الطَّعَامَ، وَأَفْشُوا السَّلَامَ، وَصِلُوا الْأَرْحَامَ، وَصَلُّوا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ
Bermaksud: "Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berikan makan, sambunglah silaturrahim, shalatlah di waktu malam ketika orang-orang tertidur, niscaya kalian akan masuk surga dengan selamat (tanpa hisab)". (Riwayat Ibnu Majah)
والله أعلم بالصواب