BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.. Saya ingin bertanya, saya telah berkahwin dengan suami selama setahun. Namun, 8 bulan dalam tempoh perkahwinan kami adalah Pasangan Jarak Jauh yang memang tidak berjumpa langsung sehingga kehari ini.. suami ada melafazkan cerai seminggu yang lalu kerana bertengkar, soalan saya, sekiranya sepanjang awal perkahiwnan suami hanya mengosokkan zakarnya di kawasan faraj,dan kemudian mengeluarkan air mani di kawasan lubang faraj isteri tanpa melakukan penetrasi ke dalam faraj isteri, adakah perkara tersebut dikira sebagai berjimak? Dan sekiranya suami melafazkan cerai, adakah isteri tersebut beriddah dan sekiranya ingin rujuk, adakah perlu akad nikahh yang baharu?

 

 

Mohon pencerahan :'(


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, 

Para Ulama’ sepakat bahawa maksud jimak atau bersetubuh yang mewajibkan mandi atau mewajibkan ‘iddah adalah apabila kepala zakar (hasyafah) memasuki lubang faraj wanita. Berdasarkan penjelasan yang dibuat oleh pihak puan, jimak atau persetubuhan sebagaimana yang ditetapkan oleh syarak masih belum berlaku di antara puan dan suami puan.

Seandainya berlaku penceraian sebelum jimak, maka tidak ada ‘iddah bagi isteri. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam surah Al-Ahzab: 49:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نَكَحْتُمُ الْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِنْ قَبْلِ أَنْ تَمَسُّوهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyetubuhinya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang ‘iddah yang kamu boleh hitungkan masanya.”

Penceraian atau talak yang dilakukan sebelum jimak adalah talak bain sughra. Hukum talak bain sughra adalah suami tiada hak rujuk. Seandainya suami ingin kembali kepada isteri yang diceraikan itu, dia perlu berakad nikah yang baru berserta mahar yang baru.

Untuk pengetahuan, bagi mazhab Syafi’i, penceraian atau talak sebelum berlaku persetubuhan atau jimak turut memberi kesan kepada hak isteri terhadap mahar atau mas kahwin, iaitu isteri hanya berhak mendapat separuh mahar. Ini sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah: 237:

وَإِنْ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِنْ قَبْلِ أَنْ تَمَسُّوهُنَّ وَقَدْ فَرَضْتُمْ لَهُنَّ فَرِيضَةً فَنِصْفُ مَا فَرَضْتُمْ

Bermaksud: “Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bersetubuh/jimak) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar mas kahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari mas kahwin yang telah kamu tetapkan itu.”

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 177

message user image