BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

assalamuaalaikum.soalan saya yang 

1.ibu mertua sama darjatnya seperti ibu sendiri kepada menantu lelaki atau perempuan dalam islam .Betulkah apa yang saya fahami ini.

2..Bagaimana pula dgn bapa mertua kepada menantu perempuan dan lelaki apakah darjatnya sama seperti ibu mertua dalam islam kepada menantu.

3.Apakah berdosa seorang menantu perempuan yang hanya bersalam dgn ibu mertua sahaja tapi tidak dgn bapa mertua dan membuatkan bapa mertua terasa hati sedangkan tidak pernah berlaku apa2 salah faham antara keduanya.Yang lain semua baik tapi tak mahu bersalam kerana islam tak benarkan bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim juga sebaliknya jika berlaku perkara yg sama antara menantu lelaki dan ibu mertua.

4.Apakah berdosa menantu L/P tersebut mengikut islam.

saya amat memerlukan jawapan agar tidak melakukan dosa lagi dlm permasalahan begini dan mengucapkan ribuan terimakasih atas penjelasan yang akan diberikan.Tolong saya yang jahil ini.no wssp saya sama seperti diatas.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, Musaharah atau perkahwinan merupakan salah satu sebab terjadinya mahram mu’abbadah (haram berkahwin untuk selama-lamanya), di samping nasab dan susuan. Dengan sebab perkahwinan, beberapa orang perempuan menjadi mahram mu’abbadah kepada seseorang lelaki, iaitu:

  1. Ibu isteri (ibu mertua) dan ke atas.
  2. Isteri bapa (ibu tiri).
  3. Isteri anak lelaki (menantu perempuan).
  4. Anak perempuan isteri (anak perempuan tiri).

Hukum ini diambil dari firman Allah SWT di dalam surah Al-Nisa’: 23:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ مِنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُمْ مِنْ نِسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُمْ بِهِنَّ فَإِنْ لَمْ تَكُونُوا دَخَلْتُمْ بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ

Bermaksud: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak perempuan tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telah pun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu”.

Dari keterangan di atas, hubungan anak menantu dan ibu bapa menantu adalah mahram mu’abbadah. Maharam mu’abbadah bermaksud tidak boleh berkahwin untuk selama-lamanya, walaupun selepas berlaku penceraian. Bukan setakat itu sahaja, hubungan aurat di antara anak menantu dan ibu bapa menantu adalah sama seperti anak dan ibu bapa kandung. Mereka juga boleh bersalaman dan tidak membatalkan wuduk.  

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

  1. Pendapat tuan benar, bahawa martabat ibu mertua adalah seperti ibu kandung sendiri dari segi wajib untuk dihormati, dari segi hukum haram menikahinya, dari segi aurat dan boleh bersalam dengannya tanpa membatalkan wuduk.
  2. Begitu juga halnya, hubungan bapa mertua dengan menantu perempuan, hubungan mereka seperti bapa kandung dan anak perempuan dari segi aurat serta boleh bersalaman tanpa membatalkan wuduk. Hubungan ini berterusan walaupun menantu perempuan tersebut diceraikan oleh suaminya.
  3. Adalah tidak wajar bagi seorang menantu perempuan tidak bersalam dengan bapa mertua yang menyebabkan bapa mertua terasa hati. Ini adalah kerana, sebagai mana yang dinyatakan di atas, hukum bersalam antara bapa mertua dan menantu perempuan adalah dibenarkan seperti anak kandung sendiri. Fahaman menganggap bapa mertua sebagai orang lelaki asing (ajnabi) yang tidak boleh bersalaman dengannya adalah fahaman yang salah.

           Ini melainkan sekiranya, ibu mertua bernikah dengan lelaki lain. Suami baru kepada ibu mertua adalah lelaki ajnabi, yang tidak boleh bersalaman dengannya.  

       4. Tiada berdosa untuk mengikuti ajaran Islam, bahkan ia sesuatu yang dituntut sekiranya ajaran tersebut benar sebagaimana yang disyariatkan. Walau bagaimanapun, di dalam perkara 3 di atas, tuan telah tersalah faham berkaitan hubungan serta hukum di antara mertua dan anak menantu dengan menganggap bapa mertua sebagai ajnabi. Mereka adalah mahram mu'abbadah, yang tidak boleh bernikah sampai bila-bila.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 2520

message user image