Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ada membaca satu post dimana seseorang itu minta untuk berdoa untuk sembuh diatas berkat Baginda Nabi Muhammad SAW. Bolehkah menulis sedemikian?
Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Bertawassul ialah menjadikan seseorang atau sesuatu sebagai perantara dalam berdoa. Memandangkan doa adalah satu ibadah, maka kita tidak boleh sewenang-wenangnya bertawassul dalam berdoa melainkan merujuk kepada dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Ini bermakna, apabila kita melakukan tawassul tanpa merujuk kepada al-Qur’an atau al-Sunnah bererti kita telah melakukan suatu bid’ah yang dilarang dalam Islam.
Al-Qur’an dan al-Sunnah telah menetapkan bahawa bertawassul dalam berdoa adalah dengan :
(1) Nama-nama Allah,
(2) Amal-amal soleh yang disyari’atkan; dan
(3) Doa orang yang soleh.
Tidak ada perbezaan pendapat dalam kalangan ilmuan Islam tentang tiga bentuk tawassul ini.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, berdoa untuk sembuh dengan berkat Rasulullah SAW sebagai salah satu cara bertawassul adalah dibenarkan berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Uthman bin Hunayf RA bahawa beliau berkata:
أَنَّ رَجُلًا ضَرِيرَ البَصَرِ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ادْعُ اللَّهَ أَنْ يُعَافِيَنِي قَالَ: «إِنْ شِئْتَ دَعَوْتُ، وَإِنْ شِئْتَ صَبَرْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ». قَالَ: فَادْعُهْ، قَالَ: فَأَمَرَهُ أَنْ يَتَوَضَّأَ فَيُحْسِنَ وُضُوءَهُ وَيَدْعُوَ بِهَذَا الدُّعَاءِ: «اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ، إِنِّي تَوَجَّهْتُ بِكَ إِلَى رَبِّي فِي حَاجَتِي هَذِهِ لِتُقْضَى لِيَ، اللَّهُمَّ فَشَفِّعْهُ فِيَّ»: هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ.
Bermaksud: “Bahawa seorang lelaki yang buta matanya datang kepada Nabi SAW seraya berkata: “Berdoalah kepada Allah agar aku disembuhkan.” Baginda bersabda: “Jika kamu mahu, aku akan mendoakanmu. Namun jika kamu mahu, bersabarlah kerana itu lebih baik bagimu.”
Lelaki tersebut berkata: “Doakanlah.” Berkata (Uthman bin Hunayf): Maka Baginda menyuruh lelaki itu berwuduk dan membaguskan wuduknya (serta solat dua rakaat) lalu berdoa dengan doa berikut ini: “Ya Allah, aku meminta kepada-Mu dan aku menghadap kepada-Mu dengan Nabi-Mu Muhammad, Nabi yang Rahmat. Sesungguhnya aku menghadap dengan-Mu kepada Tuhanku dalam hajatku ini supaya ditunaikan untukku. Ya Allah, terimalah syafaat Baginda kepadaku.” Iman Al-Tirmizi mengatakan: hadis ini hasan sahih.
(Riwayat Al-Tirmizi, Al-Nasa’i, Ahmad).
Sebahagian Ulama’ membenarkan amalan tersebut semasa hayat Rasulullah SAW sahaja. Walau bagaimanapun, Jumhur Ulama’ membenarkan amalan tersebut selepas kewafatan Rasulullah SAW berdasarkan umumnya hadis tersebut.
والله أعلم بالصواب