Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Bolehkah wang syubhah dibagi kepada adik bradik yg tidak ada kerja?
Boleh kah duit syubhah sy guna untuk byr duit sewa rumah dan bil elektrik..sbb duit halal sy dah berkurangan sgt..kalo sy bg semua duit syubhah tu sy mungkin xde duit nk byr sewa dan mungkin perlu hutang dgn org lain atau ahlong..duit syubhah tu sy ada buat beli beras bg kepada org kg sblum ni
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188:
وَلَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰلَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ
“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil”
Daripada al-Nu’man bin Basyir, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
إنَّ الحَلالَ بَيِّنٌ، وإنَّ الحَرامَ بَيِّنٌ، وإنَّ بَيْنَ الحَلالِ والحَرامِ مُشتَبِهاتٍ، فمَن ترَكها استَبْرأ لدِينِهِ وعِرضِهِ
““Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhat) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (kesamaran), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya. (Riwayat Bukhari)
Wang syubhah adalah wang yang diragui kehalalannya, atau dengan kata lain wang yang dihasilkan daripada aktiviti yang tidak diketahui status halal atau haram dan bercampur dengan perkara yang dilarang oleh Syarak, seperti keuntungan pelaburan dari perniagaan yang terdapat aktiviti yang tidak jelas patuh syariah.
Manakala wang haram adalah wang yang jelas tidak halal seperti wang hasil pencurian, perjudian, rasuah atau riba. Wang haram yang diketahui pemiliknya seperti wang curi, wang rasuah, wang judi yang diketahui miliknya, maka hendaklah diserahkan kepada tuannya semula.
Kedua-dua jenis wang tersebut ia dikategorikan sebagai wang tidak patuh Syariah. Wang atau harta tidak patuh Syariah tidak boleh digunakan untuk kepentingan diri sendiri. Sebaliknya wang tersebut hendaklah diserahkan untuk kegunaan umum melalui Baitulmal.
Satu ketetapan berkenaan penyaluran wang tidak patuh Syariah atau wang haram ini telah dibuat melalui keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Bil. 1/2009 pada 18hb. Mac 2009 yang menyatakan:
i. Wang tidak patuh syariah yang diperolehi boleh dijadikan sumber baitulmal dan harus dimasukkan ke dalam akaun baitulmal.
ii. Penggunaan wang tidak patuh syariah harus untuk kegunaan menjalankan operasi perjalanan kerja di MAIS seperti pembinaan, penyelenggaraan bangunan, emolumen, pendidikan, pertanian, penyelidikan, perubatan, kemudahan asas seperti pembinaan dewan, tandas, jambatan dan lain-lain untuk kegunaan umum.
Walau bagaimana pun, menurut salah satu resolusi yang dikeluarkan oleh Akademi Al-Fiqh Al-Islami yang berpangkalan di Arab Saudi, mengharuskan penyaluran wang atau harta tidak patuh Syariah yang tidak diketahui pemiliknya untuk diberikan bagi penggunaan fakir miskin.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, memberikan wang syubhah yang tidak diketahui pemilik asalnya kepada adik beradik yang tidak bekerja adalah dibenarkan seandainya mereka dari golongan miskin. Namun begitu, ia tidak dianggap sebagai suatu kebajikan atau taqarrub bersedekah, sebaliknya ia adakah suatu cara melepaskan wang tidak patuh Syariah dari pemilikan kita yang perlu dilakukan.
Menggunakan wang tersebut untuk membayar bil atau hutang diri sendiri adalah diharuskan seandainya dia dari golongan fakir atau miskin. Begitu juga hal keadaannya, jika menggunakan wang tersebut untuk membeli beras dan memberikannya kepada orang lain hendaklah memastikan mereka dari golongan fakir atau miskin.
والله أعلم بالصواب