Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum admin, saya nak bertanya tentang harta yang saya ragu-ragu.
Situasinya: Saya membuat pelaburan melalui Fund Manager. Dan saya baru tahu yang fund manager tersebut antara sumber pelaburannya adalah melalui Forex, gold, future trading yang saya tahu haram. Maka, saya dalam proses utk mengeluarkan semula modal saya.
Fund manager tersebut ada memberi duit saguhati kepada client-client nya yang meletakkan modal dalam fund management nya.
Persoalan saya.. adakah halal duit hadiah saguhati yang saya terima?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Umat Islam perlu memastikan sumber pendapatan yang diperolehi dengan jalan yang mematuhi kehendak Syarak. Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188:
وَلَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰلَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ
Maksudnya “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil”
Daripada al-Nu’man bin Basyir, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
إنَّ الحَلالَ بَيِّنٌ، وإنَّ الحَرامَ بَيِّنٌ، وإنَّ بَيْنَ الحَلالِ والحَرامِ مُشتَبِهاتٍ، فمَن ترَكها استَبْرأ لدِينِهِ وعِرضِهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhat) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (kesamaran), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya. (Riwayat al-Bukhari)
Untuk pengetahuan pihak tuan, tanda aras yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi mana-syarikat jual beli atau broker saham yang hasil tidak patuh Syariah kurang dari 20% dari keseluruhan hasil syarikat sebelum cukai adalah diklasifikasikan sebagai syarikat patuh Syariah. Ini bermakna keuntungan yang diperolehi dari pelaburan tersebut dianggap patuh Syariah. Walaupun pihak Suruhanjaya Sekuriti tidak menyatakan sebarang kaedah penyucian hasil pelaburan tersebut yang mengandungi peratusan yang tidak patuh Syariah, adalah disarankan untuk berbuat demikian dengan mengeluarkan 20% dari keuntungan yang diperolehi kepada kegunaan maslahah umum seperti Baitulmal.
Walau bagaimanapun, seandainya hasil tidak patuh Syariah melebihi 20% dari keseluruhan hasil syarikat sebelum cukai, maka syarikat tersebut diklasifikasikan sebagai syarikat tidak patuh Syariah dan hasil pelaburannya juga tidak patuh Syariah, iaitu haram.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, hukum sagu hati yang diberi oleh Fund Manager kepada tuan adalah mengikut hukum keuntungan pelaburan seperti di atas. Ini adalah kerana sagu hati tersebut diberikan atas dasar pelaburan yang pihak tuan berikan kepada Fund Manager tersebut.
https://www.sc.com.my/bm/api/documentms/download.ashx?id=a6a858b7-1b44-4e8a-bda6-b6dac13a4f04
Namun, memilih syarikat pelaburan yang 100% patuh Syariah adalah yang terbaik.
والله أعلم بالصواب