Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan mufti. Saya ada beberapa soalan tentang kejahilan saya yang lalu. 1) Suatu hari, selepas solat zohor, terdetik hati saya untuk periksa bacaan tahiyyat akhir saya. Saya dapati ada kesalahan huruf iaitu (الطيبات لله) dengan saya terbaca (ت) dengan huruf (د) "toyyibadulillah". Saya tidak tahu sejak bila berlakunya perkara ini. Saya sudah bersekolah agama dari darjah 1-6 serta menyertai kem tahsin wudhu dan solat. Adakah perlu saya qadha solat-solat sebelum ini? Bagaimana pula solat orang yang solat sebagai makmum saya? Adakah mereka perlu qadha juga? 2) Semasa tempoh PKP tahun lepas, saya ada baca buku tentang solat. Di dalam buku tersebut, ada ditulis " semasa takbiratul ihram, jari-jari tangan hendaklah mengahadap kiblat". Kemudian saya cuba praktikkan dalam solat dengan mengangkat tangan ke paras telinga dan membengkokkan jari saya ke hadapan sedikit. Kemudian pada tahun ini baru saya tersedar yang saya buat itu salah selepas membaca buku lain yang disertakan gambar. Adakah sah solat saya sebelum ini kerana bertakbiratul ihram dengan cara yang kurang tepat? Terima kasih tuan mufti.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Solat yang sah dan sempurna adalah yang memenuhi rukun-rukun serta syarat-syaratnya. Solat tidak akan sempurna dan tidak sah kecuali dengan menyempurnakan kesemua rukun dan syarat mengikut cara dan susun atur yang telah ditetapkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Permasalahan sebutan huruf pada Tasyahud akhir merupakan salah satu rukun qawli yang wajib dibaca dengan sempurna oleh setiap orang yang solat. Kesilapan pada perkara rukun secara sengaja akan menyebabkan solat kita batal dan wajib diqada' semula.
Berbalik kepada persoalan tuan, kesalahan atau kesilapan yang dilakukan secara tidak sengaja adalah dimaafkan dan tidak membatalkan solat. Solat yang terdahulu tidak perlu diqada' dan begitu juga solat orang lain yang pernah menjadi makmum tuan. Tuan perlu bertaubat atas kesalahan tersebut dan berazam untuk sentiasa mempelajari ilmu agama dengan teliti. Firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa' ayat 17;
إِنَّمَا التَّوْبَةُ عَلَى اللَّهِ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السُّوءَ بِجَهَالَةٍ ثُمَّ يَتُوبُونَ مِن قَرِيبٍ فَأُولَٰئِكَ يَتُوبُ اللَّهُ عَلَيْهِمْ ۗ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
Maksudnya: "Sesungguhnya taubat yang diterima oleh Allah adalah bagi mereka yang melakukan kesalahan dengan sebab kejahilan kemudian dia segera bertaubat maka Allah menerima taubat mereka. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana".
Takbiratu al-Ihram merupakan rukun qawli yang wajib dibaca dengan sempurna. Adapun mengangkat tangan ketika takbiratu al-ihram adalah sunat hay`ah dan tidak membatalkan solat sekiranya tidak melakukannya. Solat tuan sah dan tidak perlu diqada'.
والله أعلم بالصواب