BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Apakah hukum menggunakan sbhgian dana wakaf pembinaan masjid bagi kos  pengurusan spt pengiklanan, lantikan konsultan, duta wakaf dan sebagainya?

Jika dibenarkan, berapa peratuskah had yg dibenarkan?


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Hukum pengurus harta wakaf mengambil upah menguruskan harta wakaf adalah diharuskan menurut hukum Syarak. Sama ada upah itu dibayar oleh pewakaf sendiri atau sekiranya tiada, upah tersebut boleh diambil dari hasil harta wakaf tersebut. Upah yang diperuntukkan hendaklah tidak melebihi upah mithl atau kadar kebiasaan semasa. Kadar upah serta tanggungjawab pengurus harta wakaf hendaklah dinyatakan dengan jelas.    


Sebahagian Ulama’ berhujah keharusan pengurus harta wakaf mengambil upah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«لَا تَقْتَسِمُ وَرَثَتِي دِينَارًا، مَا تَرَكْتُ بَعْدَ نَفَقَةِ نِسَائِي، وَمُؤْنَةِ عَامِلِي فَهُوَ صَدَقَةٌ»
Bermaksud: “Janganlah warisanku dibagi-bagi sebagai dinar. Apa yang aku tinggalkan selain untuk nafkah isteri-isteriku dan gaji amilku semuanya sebagai sedekah”. (Riwayat Al-Bukhari).


Ini dikuatkan dengan hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA, berhubung perbuatan Saidina Umar Al-Khattab RA yang membenarkan pemberian upah kepada pengurus wakaf, dia berkata:
أَنْ عُمَرَ بْنَ الخَطَّابِ أَصَابَ أَرْضًا بِخَيْبَرَ، فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتَأْمِرُهُ فِيهَا، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّي أَصَبْتُ أَرْضًا بِخَيْبَرَ لَمْ أُصِبْ مَالًا قَطُّ أَنْفَسَ عِنْدِي مِنْهُ، فَمَا تَأْمُرُ بِهِ؟ قَالَ: «إِنْ شِئْتَ حَبَسْتَ أَصْلَهَا، وَتَصَدَّقْتَ بِهَا» قَالَ: فَتَصَدَّقَ بِهَا عُمَرُ، أَنَّهُ لاَ يُبَاعُ وَلاَ يُوهَبُ وَلاَ يُورَثُ، وَتَصَدَّقَ بِهَا فِي الفُقَرَاءِ، وَفِي القُرْبَى وَفِي الرِّقَابِ، وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ، وَابْنِ السَّبِيلِ، وَالضَّيْفِ لاَ جُنَاحَ عَلَى مَنْ وَلِيَهَا أَنْ يَأْكُلَ مِنْهَا بِالْمَعْرُوفِ، وَيُطْعِمَ غَيْرَ مُتَمَوِّلٍ.

Bermaksud: “Sesungguhnya Umar RA  telah mendapat sebidang tanah di Khaibar  kemudian dia datang menghadap Nabi SAW untuk meminta pendapat berkenaan cara menguruskannya, katanya: Wahai Rasulullah! Saya telah mendapat sebidang tanah di Khaibar. Saya belum pernah memperolehi harta yang lebih baik daripada ini. Baginda bersabda: Jika kamu suka, tahanlah (wakafkanlah) tanah itu dan kamu sedekahkan manfaatnya. Lalu Umar RA mengeluarkan sedekah hasil tanah itu dengan syarat tanahnya tidak boleh dijual dan dibeli serta diwarisi atau dihadiahkan. Umar RA  mengeluarkan sedekah hasilnya kepada fakir miskin, kaum kerabat dan untuk memerdekakan hamba juga untuk orang yang berjihad di jalan Allah serta untuk bekal orang yang sedang dalam perjalanan dan menjadi hidangan untuk tetamu. Orang yang mengurusnya boleh makan sebahagian hasilnya dengan cara yang baik dan boleh memberi makan (kepada temannya) tanpa menjadikan hak milik (mereka).” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hujah lain bagi keharusan ini adalah keperluan wujudnya pengurus wakaf itu sendiri. Kemaslahatan menjaga harta wakaf dari kerosakan atau kemusnahan adalah perlu bagi memastikan faedah serta manfaat dari harta wakaf tersebut berterusan. Kemaslahatan ini tidak dapat dijamin melainkan dengan wujudnya pengurus harta wakaf, maka mewujudkan pengurus harta wakaf juga suatu keperluan.
Ini berdasarkan kepada kaedah Fiqah:
ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب
Bermaksud: “Suatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya, maka ia juga menjadi wajib”.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, berhubung penggunaan sebahagian dana wakaf pembinaan masjid bagi tujuan pengurusan seperti kos pengiklanan, pelantikan konsultan, duta wakaf dan sebagainya demi kebaikan serta penyempurnaan pembinaan masjid tersebut adalah diharuskan menurut uruf kebiasaan pembangunan sesuatu projek. Kadar peruntukkan bagi tujuan tersebut hendaklah munasabah mengikut kadar semasa. Berdasarkan ketetapan yang dibuat terhadap Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) yang diharuskan mengambil keuntungan pelaburan wakaf khas sebanyak 15% bagi tujuan pengurusan dan pentadbiran sebagai upah selaku pengurus, kos-kos lain seperti pengiklanan, pelantikan konsultan, duta wakaf dan sebagainya yang tidak melibatkan kos secara langsung pembinaan hendaklah di dalam lingkungan 15% tersebut.

Untuk pengetahuan pihak tuan, mana-mana orang yang mentadbir atau mengurus wakaf am atau wakaf khas tanpa kebenaran bertulis daripada Majlis atau Permadanan Wakaf Negeri Selangor merupakan suatu kesalahan menurut syeksen 45, Enekmen Wakaf Negeri Selangor 2015.. Adalah disarankan agar pihak tuan membuat pendaftaran seandainya belum berbuat demikian.  

http://www.mais.gov.my/wp-content/uploads/2020/10/ENAKMEN-WAKAF-NEGERI-SELANGOR-2015.pdf 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.            


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 405

message user image