BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Dulu berpuasa dan solat xtinggal, tp mkn duit haram, skrg dah taubat..adakah puasa dan solat dulu sah? Xperlu ganti?adakah pahala amal ibadat tergantung dan apabila taubat smua amal ibadat tu akn dpt balik? 


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan saudara, kedua-dua ibadah puasa dan solat tersebut jika ia menepati rukun dan syarat-syaratnya maka ibadah tersebut adalah sah dan tidak perlu diganti semula. Adapun urusan pahala itu adalah urusan dan hak Allah SWT. Apa yang perlu kita yakini bahawa sesungguhnya Allah SWT itu Maha Adil dan tidak akan menzalimi hamba-Nya. Manakala tugas seorang hamba adalah terus bertaubat dengan usaha yang bersungguh-sungguh dengan tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Apabila Allah SWT menerima taubat hamba-Nya, Allah SWT akan menggantikan segala kejahatan yang dilakukan oleh hamba-Nya itu dengan kebaikan. Sebagaimana firman-Nya di dalam surah Al-Furqan: 70:

وَالَّذِينَ لَا يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا آخَرَ وَلَا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَلَا يَزْنُونَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ يَلْقَ أَثَامًا (68) يُضَاعَفْ لَهُ الْعَذَابُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَيَخْلُدْ فِيهِ مُهَانًا (69) إِلَّا مَنْ تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا (70)

Bermaksud: "Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya (68); Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan (69), Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (70).

Seandainya kejahatan manusia Allah SWT gantikan dengan kebaikan dengan sebab taubat, inikan pula perbuatan kebaikan mahupun ibadah.  

Sehubungan itu, mencari yang halal adalah kewajipan bagi setiap muslim. Atas dasar itu, Islam amat menekankan kepada umatnya supaya bersungguh-sungguh, berdoa dan bertawakal kepada Allah serta banyak bersabar dalam mencari rezeki kerana rahmat Allah adalah sangat luas dan Dia tidak akan mensia-siakan doa dan usaha hamba-Nya. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat 188: 

وَلَا تَأْكُلُوْٓا اَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوْا بِهَآ اِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوْا فَرِيْقًا مِّنْ اَمْوَالِ النَّاسِ بِالْاِثْمِ وَاَنْتُمْ تَعْلَمُوْنَ

Maksudnya: "Dan janganlah kamu makan harta di antara kamu dengan jalan yang batil, dan (janganlah) kamu menyuap dengan harta itu kepada para hakim, dengan maksud agar kamu dapat memakan sebagian harta orang lain itu dengan jalan dosa, padahal kamu mengetahui".  

Semoga kita terpelihara daripada melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syarak dan mendapat reda Allah S.W.T. 

 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 126

message user image