Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan,
Saya adalah anak angkat tunggal lelaki kepada bapa saudara saya (abang kandung ibu saya).
Saya difahamkan yang saya di ambil oleh bapa saudara saya semasa umur saya dua hari selepas lahir dan nama saya telah dibinkan
kepada bapa saudara saya. Disurat beranak nama ibu pun dicatit atas nama ibu angkat saya.
Ibu bapa kandung saya dan ibu bapa angkat (bapa saudara) tinggal berjiran dan dari kecil saya telah diasuh untuk merujuk kepada keempat empat mereka sebagai
ibu dan ayah. Dengan arti lain sejak kecil saya ada dua ibu dan dua ayah sebagai rujukan.Perhubungan saya dengan ibu bapa kandung serta adik beradik kandung lain pula amat rapat.
malah setelah ibu bapa kandung berpindah jauh, tiap tiap cuti sekolah saya akan dihantar kerumah mereka untuk bercuti bersama sama mereka dan adik beradik lain.
Sekarang kedua dua ibu bapa kandung dan ibu bapa angkat telah meninggal dunia. Dalam setiap doa dan amalan , saya akan akan sentiasa menyebut nama nama keempat
mereka untuk saya hadiahkan pahala didahului nama nama ibu bapa kandung saya.
Saya telah menerangkan situasi ini kepada semua anak anak saya dan mereka memahami.
Dari segi harta bapa angkat, arwah telahpun menurunkan kepada saya secara rasmi semasa beliau hidup.
Kemuskilan saya ialah perlukah saya tukar nama bapa serta ibu saya didalam dokumen rasmi sekarang - surat beranak dan kad pengenalan. kerana saya dinasihatkan
berbuat demikian. Malah disebutkan pada saya hadis nabi yang bermaksud "sesiapa yang menisbahkan dirinya kepada bukan bapanya sedangkan diatahu bahawa orang itu
bukan bapanya, maka syurga adalah haram baginya."
Pada saya itu cuma dokumentasi dan ia berlaku kerana ketidakfahaman hukum orang dahulu,sedangkan disudut hati, saya faham akan kenyataan dan kaum kerabat lain pun tahu
tentang duduk perkara.
Harap mendapat pencerahan dari Tuan.
Assalamualaikum.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Islam menetapkan hukum mengambil anak angkat sebagai harus, apatah lagi ia adalah agama yang mementingkan kasih sayang dan pembelaan kepada semua makhluk. Bagaimanapun keharusan ini tidak bermakna ia boleh dilakukan sesuka hati tanpa merujuk kepada hukum agama, sebaliknya perlu mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan oleh syarak. Dalam sirah Nabawiyyah, sebelum Nabi Muhammad SAW diutus sebagai rasul, Baginda mengambil Zaid sebagai anak angkat yang bersesuaian dengan amalan dan budaya masyarakat Arab ketika itu. Orang Arab sangat gemar mengambil anak angkat dengan menjadikan mereka memiliki hak yang sama seperti anak kandung, sekali gus berhak ke atas harta mereka dan keluarga.
Bagaimanapun, Islam mengubah tatacara pengambilan anak angkat yang berlaku pada zaman Arab jahiliyah seperti tidak membenarkan untuk menasabkan mereka, iaitu bin atau binti kepada nama bapa angkat. Firman Allah SWT bermaksud:
“Panggillah mereka (anak angkat itu) dengan (menggunakan) nama bapa mereka; Itulah lebih adil di sisi Allah dan jika kamu tidak mengetahui bapa mereka, maka (panggilah mereka sebagai) saudara-saudaramu seagama dan maula-maulamu, dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu tersilap melakukannya tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (Al Ahzab: 5)
Berbalik kepada permasalahan tuan, dari segi hukum agama, seandainya tidak terdapat sebarang halangan mahupun mendatangkan sebarang kemudaratan, maka adalah wajib menukar nama kepada nama bapa kandung sendiri, supaya tidak timbul isu berbangkit pada kemudian hari, lebih-lebih lagi perkara berkaitan urusan pembahagian harta pusaka, pewalian dan sebagainya.
Terdapat hadis yang telah diriwayatkan oleh Muslim:
وَمَنِ ادَّعَى إلى غيرِ أَبِيهِ، أَوِ انْتَمَى إلى غيرِ مَوَالِيهِ، فَعليه لَعْنَةُ اللهِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ، لا يَقْبَلُ اللَّهُ منه يَومَ القِيَامَةِ صَرْفًا، وَلَا عَدْلًا
"Barangsiapa mengaku sebagai ayah kepada selain ayahnya atau bergantung pada seseorang yang bukan penjaganya, maka laknat Allah, begitu juga malaikat dan semua manusia akan menimpa mereka, dan pada hari kiamat, Allah tidak akan menerima dari mereka, baik fardu dan sunnah."
Islam sangat tegas mengharamkan seseorang menasabkan anak angkat kepada bapa angkat demi memelihara keturunan seperti Islam menghendaki kita memelihara agama, akal, jiwa dan harta.
Dalam isu pembahagian harta perlu dinyatakan bahawa anak angkat tidak berhak untuk mewarisi harta pusaka ibu atau bapa angkat mereka disebabkan tiada pertalian darah yang membolehkan berlakunya perwarisan pusaka. Namun begitu, sebaiknya para waris yang lain mengasihani anak-anak angkat ini sepertimana ibu atau bapa angkat mereka mengasihani mereka sewaktu masih hidup. Oleh yang demikian, antara langkah awal atau inisiatif lain yang boleh diambil oleh ibu atau bapa angkat sekiranya ingin memberikan sebahagian harta mereka kepada anak angkat mereka adalah melalui proses hibah dan juga wasiat. Namun, mestilah kedua-dua proses ini dilakukan dengan cara yang adil iaitu tidak menyusahkan para waris yang lain atau bersikap berat sebelah dalam urusan pembahagian harta, serta mestilah mengikut petunjuk dan juga kadar yang telah ditentukan syariat Islam.
Begitu juga kita sebagai seorang anak, kita masih lagi tertakluk dengan akhlak Islam, iaitu menghormati serta mendoakan orang-orang yang lebih tua daripada kita, apatah lagi ibu bapa angkat itu adalah orang yang telah banyak berjasa dalam membesar, memelihara dan mendidik kita sehingga kita berjaya. Semoga kita menjadi hamba-hamba Allah SWT yang bersyukur
..والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.