BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.Saya ingin bertanya soalan tentang najis hukmi.Apakah najis hukmi dapat berpindah dalam keadaan basah?.Contohnya ada carpet yg terkena air kencing kemudian air kencing tersebut dibiarkan sehingga zat,bau,warna dan rasa hilang dan menjadi najis hukmi kemudian dengan kaki yang basah saya pijak carpet tu.apakah kaki saya sudah menjadi najis? dan jika saya berjalan ke sekeliling rumah dengan kaki yang basah itu apakah sudah memindahkan najis?.

2.Jika ianya boleh berpindah bolehkah saya mengambil pendapat mazhab maliki yang mengatakan najis hukmi tidak berpindah?Kerana saya ini seorang yang senang waswas.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Pada asasnya najis adalah sesuatu yang kotor dan ianya perlu dibersihkan. Ini berdasarkan kepada umum perintah Nabi SAW untuk membersihkan air kencing seorang badwi yang terdapat di masjid Nabawi. Nabi SAW bersabda:

وَأَهْرِيقُوا عَلَى بَوْلِهِ ذَنُوبًا مِنْ مَاءٍ أَوْ سَجْلًا مِنْ مَاءٍ فَإِنَّمَا بُعِثْتُمْ مُيَسِّرِينَ وَلَمْ تُبْعَثُوا مُعَسِّرِينَ

Maksudnya: "Siramkanlah kencing tersebut dengan sebaldi air atau sebekas besar yang penuh dengan air. Sesungguhnya kalian diutuskan untuk memudahkan dan kalian tidak diutuskan untuk menyusahkan." (Riwayat al-Bukhari)

Merujuk kepada persoalan tuan, najis hukmi adalah najis yang telah hilang ain serta sifatnya seperti warna, bau dan rasa. Menurut mazhab Syafi'i, najis hukmi boleh berpindah dalam keadaan basah. Ini kerana kaki yang basah tersebut menjadi mutanajjis atau terkena najis karena bersentuhan dengan najis hukmi. Dengan berjalan ke sekeliling rumah dengan kaki yang basah itu telah memindahkan najis dan ianya perlu disucikan seandainya yakin memijak najis hukmi tersebut.

Sememangnya wujud khilaf antara mazhab Syafi'i dan mazhab Maliki dalam bab najis. Namun, dalam konteks 'uruf di Malaysia, tidak ada keperluan untuk sewenang-wenangnya bertalfiq atau mengikut kepada mazhab Maliki tanpa keperluan walaupun pada asalnya, hukum seorang bermazhab Syafi'e bertaqlid kepada mazhab Maliki dalam bab najis adalah dibenarkan dengan syarat perlu meraikan semua hukum-hakam solat dan bersuci dalam mazhab Maliki.

Oleh itu, disarankan supaya tuan lebih perihatin terhadap isu najis dengan segera mensucikannya dan jangan membiarkan nya sehinga hilang kesan najis tersebut. Ini adalah bagi mengelakkan dari timbul perasaan was-was pada diri tuan. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 553

message user image