Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz apa hum kita tengok ceramah atau pembelajaran tang menaikkan syahwat,dan jikalau kita bernafsu ataupon ingin menaikkan syahwat boleh ke kita baca atau dengar ceramah yang menaikkan syahwat,ada Tak perkara yang halal dibuat untuk berbuat demikian
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Secara lahiriah, setiap manusia lahir dengan sesuatu yang dinamakan sebagai nafsu di dalam diri. Perkara inilah yang membuat kita semua berkeinginan untuk mendapatkan sesuatu seperti makanan yang lazat, minuman yang sedap, pakaian yang cantik, kereta yang besar dan sebagainya. Ini termasuklah nafsu syahwat yang mendambakan sesuatu yang bersifat seksual bersama pasangan berbeza jantina. Firman Allah di dalam surah ali-Imran ayat 14:-
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ۗ ذَٰلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَاللَّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ
Maksudnya : Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).
Merujuk kepada soalan tuan, ada pun mendengar mahupun menengok ceramah atau pembelajaran yang mengandungi unsur yang boleh menaikkan syahwat dengan niat pembelajaran sama ada sebagai seorang pelajar perubatan atau orang awam yang ingin menambah pengetahuan adalah diharuskan. Umpamanay menonton ceramah yang isi penyampaiannya berkisar hubungan seksual bersama pasangan adalah harus, kerana ia melibatkan pelajaran cara menggauli isteri dengan cara yang dituntut oleh syarak agar hubungan sosial di antara suami dan isteri berjalan dalam keadaan baik dan penuh harmoni. Namun menengok ceramah yang mengandungi unsur menaikkan syahwat dengan niat mahu menaikkan syahwat semata-mata adalah dilarang menurut ajaran Islam.
Bahawasanya cara yang dibenarkan menurut syarak untuk menaikkan syahwat adalah melalui isteri kita. Segala apa yang ada pada isteri kita adalah halal dan harus beristimta’ dengannya dengan cara yang kita kehendaki berlandaskan hukum syarak serta adab-adab tatasusila yang ditetapkan, seperti larangan menyetubuhi isteri ketika haid atau melalui dubur. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah, ayat 223:
نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ ۖ وَقَدِّمُوا لِأَنفُسِكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّكُم مُّلَاقُوهُ ۗ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.
والله أعلم بالصواب