BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t.

Sebagai mukadimah, kami adalah dari satu agensi pengiklanan. Kami sedang berusaha untuk menjadikan agensi ini halal dan menuju ke arah yang diredhai Allah. Perniagaan kami berdasarkan khidmat yang diberikan kepada klien / customer kami yang ingin menerbitkan apa apa jenis iklan atau branding seperti poster, billboard dan sebagainya.

Saoalanya ialah, adakah menggunakan imej yang tidak mentutup aurat dengan sempurna tetapi tidak menaikan syahwat dan fitnah di dalam penerbitan brosur, poster, dan media iklan lain bagi tujuan mempromosi produk halal seperti hartanah rumah, buku dan sebaginya haram? 

Soalan ini ditanya mengikut konteks tersebut:
1) imej yang digunakan mungkin telah diberikan / dimohon untuk digunakan oleh klien yang ingin menerbitkan bahan iklan.
2) imej mungkin berasal dari database stock image di mana tiada alternative yang menutup aurat dapat diketemui.
3) fokus penggunaan imej tersebut bukan untuk menunjukkan kecantikan orang tersebut, tetapi bagaimana produk yang diiklankan akan / boleh digunakan oleh orang ramai. 

Mohon pihak mufti dapat membanttu kami agar kami boleh melakukan perkara yang betul. 

Terima kasih. 
 

Assalamualaikum w.b.t.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد      

Tidak dinafikan Industri pengiklanan merupakan sebuah industri yang membangun secara pesat di seluruh dunia melalui bidang pemasaran. Iklan disampaikan kepada khalayaknya menggunakan pelbagai medium seperti televisyen, radio, laman sesawang, papan iklan, akhbar, majalah dan lain-lain lagi. Iklan tersebut bertujuan memujuk khalayak sasaran untuk bertindak ke atas tujuan iklan tersebut. Kebanyakkan iklan tersebut memaparkan imej wanita dan lelaki sebagai model yang memainkan peranan yang dikhususkan untuk mempromosikan sesuatu produk atau perkhidmatan yang diiklankan. Sudah pasti peranan yang dimainkan oleh model dalam iklan tersebut akan mempengaruhi khalayak.

Menekuni kepada Garis Panduan Penerbitan Di Bawah Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984 (Akta 301)  juga menyatakan larangan  menyebarkan ajaran atau mengandungi unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah, hukum dan pegangan Ahli Sunnah wal-Jamaah selain larangan mempersenda atau mempersoal kewibawaan atau membuat penyelewengan ke atas sumber-sumber hukum Islam yang utama iaitu al-Quran, al-Hadith, Ijma’ dan Qiyas.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, secara asasnya, haram ke atas orang Islam untuk mendedahkan aurat sendiri atau aurat orang lain kepada orang bukan mahram mengikut batasan yang telah digariskan menurut Hukum Syarak. Namun demikian, jika keadaan terdesak (darurat) sehingga terpaksa mendedahkan aurat seperti ketika menjalani rawatan dan memberi pertolongan kecemasan, maka perkara tersebut diharuskan terhad pada bahagian aurat yang perlu didedahkan dan pada masa yang diperlukan sahaja. Adapun senario atau konteks yang diberikan bukan dari situasi yang boleh memberi kelonggaran untuk mendedah aurat.  

Tidak dinafikan, bidang pengiklanan merupakan salah satu bidang yang penting khususnya dalam sesuatu perniagaan. Sekiranya tujuan sesebuah syarikat adalah untuk menjadikan syarikat tersebut halal dan menuju ke arah yang diredai oleh Allah, maka Hukum Syarak perlu menjadi keutamaan mengatasi perkara yang lain. Dalam mempromosikan perkara yang halal seperti hartanah, buku dan sebagainya, maka penggunaan imej yang menutup aurat adalah wajib selari dengan aspirasi syarikat. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 172

message user image