Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Seperti mana mana yg kita tahu jika isteri ingkar atas arahan suami ia dikira berdosa selagi mana arahan itu tidak melanggar hukum syrak. Bagaimana pula dengan isteri yg ingkar arahan suami setelah ia diminta utk mendapatkan suntikan vaksin covid 19. Moham penjelasan tuan. Terima kasih
Jawapan
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara asas seorang isteri diwajibkan mentaati perintah suami dalam perkara-perkara ma'ruf yang tidak bertentangan dengan hukum syarak. Galakan supaya mentaati suami ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا، دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الجَنَّةِ شِئْتِ
Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, puasa pada bulannya (Ramadhan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang anda kehendaki”. (Riwayat Ibn Hibban)
Dalam Islam hubungan suami isteri datang dengan beban tanggungjawab yang besar. Setiap pihak perlu berusaha untuk menunaikan tanggungjawab yang dipikul dengan penuh amanah. Sebarang bentuk pengabaian terhadap hak dan tanggungjawab boleh menyebabkan keruntuhan dan kecelaruan berlaku dalam rumah tangga. Islam memberi penekanan yang jelas dalam perkara ini. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 228:
وَلَهُنَّ مِثۡلُ ٱلَّذِي عَلَيۡهِنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيۡهِنَّ دَرَجَة
Maksudnya: “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya).”
Imam al-Tabari dalam menjelaskan ayat di atas, beliau menukilkan kata-kata al-Dhahhak bahawa jika para isteri taat kepada Allah dan para suami mereka, maka suami perlu berkelakuan baik serta bertanggungjawab dalam menunaikan hak-hak isteri dengan sebaik mungkin. Manakala firman Allah SWT yang mengatakan bahawa suami mempunyai satu darjat lebih tinggi dari isteri, menurut sebahagian ulama merujuk kepada kewajipan isteri mentaati perintah atau suruhan suami.
Kembali kepada soalan yang diajukan, suruhan suami kepada isteri untuk mengambil vaksin Convid-19 bukanlah suatu yang menyalahi hukum syarak. Ini adalah kerana sehingga kini pengambil vaksin Convid-19 dilihat dapat memberi kebaikan dari segi pengurangan kesan virus tersebut jika dijangkiti. Walaupun diakui bahawa terdapat laporan mengatakan pengambilan vaksin Convid-19 ada memberi kesan negatif, akan tetapi kesannya adalah ringan dan jumlahnya kecil. Berdasarkan keadaan ini dan niat suami yang baik untuk melindungi kebajikan isteri adalah tidak wajar kepada isteri untuk mengingkarinya. Keingkaran isteri di dalam perkara ini boleh membawa kepada nusyuz.
Walau bagaimanapun, seandainya pihak isteri berkeyakinan bahawa pengambilan vaksin akan memberi kesan mudarat yang teruk kepada dirinya atas faktor tertentu seperti kesihatan, alahan dan sebagainya, maka pihak isteri boleh menolak suruhan suami dengan cara yang baik.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.