Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ada soalan. Apa hukumnya apabila semasa saya haid, terdapat bau darah pada diri dan pakaian saya, walaupun saya tidak mengalami sebarang kebocoran. Adakah pakaian saya juga dikira sebagai tidak suci dan kotor? Adakah hukumnya sama seperti memakai lampin dan terdapat bau najis pada pakaian walaupun lampin tersebut tidak bocor? Sekian. Terima kasih.
Jawapan
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan, diri dan pakaian puan semasa dalam keadaan haid tidaklah kotor atau tidak suci. Lebih-lebih lagi tiada sebarang kebocoran atau kesan darah pada pakaian tersebut dan hukumnya tidak najis. Namun, bau darah haid yang agak kuat menimbulkan keresahan. Justeru, Nabi SAW menyarankan agar wanita memakai haruman semasa mandi ketika haid. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada 'Aisyah RA, katanya:
سألت امرأة النبى ﷺ : كيف تغتسل من خيضتها؟ قال : فذكرت أنه علمها كيف تغتسل. ثم تأخذ فرصة من مسك فتطهربها. قالت : كيف أتطهربها؟ قال : تطهرى بها. سبحان الله! واستتر (وأشارلنا سفيان بن عيينة بيده على واجهه) قال قالت عائشة : واجتذبتها إلى. وعرفت ماأراد النبى ﷺ. فقلت تتبعى بها أثر الدم.
Maksudnya : "Seorang wanita bertanya kepada Nabi SAW, bagaimana caranya mandi haid." Lalu 'Aisyah menceritakan bagaimana Nabi SAW mengajarkan kepada wanita itu caranya mandi. Kemudian Nabi menyuruh ambil sepotong kain kapas yang diberi harum-haruman dan menyuruh wanita itu bersuci dengan kain itu. Wanita itu bertanya, "Bagaimana caranya aku bersuci dengan kain itu'!" Jawab Nabi SAW, "Bersihkan dengannya! Subhanallah!". Sesudah berkata begitu beliau menyingkir. Lalu Sufyan bin 'Uyaynah memberi isyarat kepada kami dengan tangannya ke mukanya. Kemudian wanita itu ku tarik ke dekatku, dan aku mengerti apa yang dimaksudkan Rasulullah SAW itu. Lalu ku jelaskan kepadanya. Kataku, "Gosokkan kain itu di tempat bekas keluar darah!"
(Riwayat Muslim)
Kesimpulannya, wanita yang sedang haid hendaklah menjaga kebersihan dan mengurus sisa haidnya dengan baik seperti sentiasa menukar pad/ lampin dengan teratur dan menggunakan haruman atau sabun ketika mencuci tubuh badannya. Pastikan diri sentiasa bersih dan kemas agar hati menjadi tenang.
والله أعلم بالصواب