BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamulaikum,

Merujuk kepada memo yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bertajuk KEWAJIPAN MENGAMBIL SUNTIKAN VAKSIN COVID-19 TERHADAP GOLONGAN YANG DITETAPKAN OLEH ULI AL-AMRI bertarikh 24 September 2021, Saya percaya pihak Jabatan Mufti Negeri Selangor telah mendapat taklimat daripada doktor pakar berkenaan perkara Vaksin Covid-19.

Saya ingin memohon Jabatan Mufti Negeri Selangor kongsikan perkara dibawah agar saya mempunyai keyakinan untuk mengambil Vaksin Covid-19 yang diperintahkan oleh kerajaan.

1) Adakan Vaksin Covid-19 telah disahkan status Halal nya?

2) Adakan pengambilan Vaksin Covid-19 akan memberikan kesan kesihatan kepada penerima Vaksin sama ada dalam jangka masa pendek atau jangka masa panjang?

Kerjasama pihak Tuan dalam menjawap persoalan diatas saya ucapkan berbanyak terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

SOALAN PERTAMA: Adakah vaksin Covid 19 telah disahkan status halalnya?

Pelbagai pihak telah melontarkan tohmahan  terutamanya golongan antivaksin dalam media sosial kononnya bahan yang digunakan dalam proses penghasilan vaksin diambil dari unsur yang seperti kewujudan DNA babi dan pelbagai dakwaan lagi. Dakwaan-dakwaan berat yang dikeluarkan golongan ini pastinya sedikit sebanyak menimbulkan kegusaran dalam hati orang ramai terutama umat Islam. Kita sebagai umat Islam di Malaysia sewajarnya  tidak perlu bimbang dengan status kehalalan  vaksin COVID-19 terutama status halalnya, kerana vaksin yang digunakan di Malaysia telah pun melalui proses penyelidikan, kajian dan perbahasan dalam Muzakarah Kebangsaan Majlis Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia  (MKI)

Jawatankuasa ini telah bermuzakarah dengan pelbagai pihak seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum sebarang keputusan melibatkan hukum vaksin dikeluarkan. Berilah kepercayaan kepada Jawatankuasa Muzakarah (MKI) yang  terdiri daripada mufti-mufti, para alim serta pakar-pakar dari pelbagai bidang sebelum mengeluarkan status keharusnya. 

SOALAN KEDUA: Adakan pengambilan Vaksin Covid-19 akan memberikan kesan kesihatan kepada penerima Vaksin sama ada dalam jangka masa pendek atau jangka masa panjang?

Vaksin boleh menyebabkan kesan sampingan, seperti kesakitan dan kemerahan pada tempat suntikan atau demam. Namun kebanyakan kesan sampingan ini adalah ringan dan sembuh dengan segera. Adalah sukar untuk menjangka siapa yang akan mengalami kesan sampingan ringan dan siapa yang berkemungkinan mengalami kesan sampingan yang lebih serius kesan dari pengambilan vaksin. Lazimnya kesan sampingan serius amat jarang berlaku.

Kementerian Kesihatan Malaysia sememangnya memantau keselamatan penggunaan vaksin secara berterusan selain ianya dijamin selamat kerana telah berdaftar dan telah diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 8 Januari 2021 untuk penggunaannya di Malaysia. Pihak Food and Drug Administration (FDA) telah membenarkan penggunaan Vaksin COVID19 COMIRNATY (Pfizer-BioNTech) sebagai langkah kecemasan untuk mencegah COVID-19 dalam kalangan individu berumur 16 tahun dan ke atas di bawah Penggunaan Kecemasan Kebenaran (EUA). Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memperakui bahawa vaksin COVID-19 COMIRNATY (Pfizer-BioNTech) boleh digunakan bagi tujuan kecemasan pada 31 Disember 2020. Ia juga telah diluluskan oleh pihak berkuasa kesihatan di USA, UK, negara-negara Eropah, Israel dan Singapura. Malah sebanyak 48 negara telah memperakui penggunaan vaksin ini.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 84

message user image