BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Wajibkah ambil nafas baru di setiap wakaf ketika baca alfatihah dalam solat, kalau tak ambil nafas jadi batal ke solat? Soalan kedua, betul ka kalau bukan orang arab, kalau salah makhraj huruf ketika baca alfatihah dalam solat dimaafkan sbb kita bukan lidah arab. Saya susah nak sebut huruf ghoin tu. Kalau baca kuat okay ja, kalau baca time jadi makmum tu yg bunyi dia lain sikit, tak jadi kho, tak jadi ghoin.

 


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Kesempurnaan membaca surah al-Fatihah dalam solat sangatlah dituntut kerana ianya adalah salah satu daripada rukun solat. 

Merujuk kepada persoalan pertama tuan, berdasarkan hadis shahih, bahawa Rasulullah SAW membaca dengan cara waqaf seayat demi seayat. Ummu Salamah RA meriwayatkan ketika menjelaskan cara bacaan Rasulullah SAW, beliau berkata:

كَانَ يُقَطِّعُ قِرَاءَتَهُ آيَةً آيَةًً.

Maksudnya: Sesungguhnya Baginda SAW memutus-mutuskan (mewaqaf) bacaannya (surah al-Fatihah) seayat demi seayat. (Riwayat Imam Ahmad)

Walau bagaimanapun, sekiranya tidak mengambil nafas yang baharu antara satu kalimah dengan kalimah yang lain tidaklah menjadi satu kesalahan yang boleh membatalkan solat. 

Bagi persoalan yang kedua, surah al-Fatihah perlu dibaca dengan bacaan yang betul dari segi baris berserta dengan tajwid dan makhrajnya. Kesalahan dalam tajwid seperti bacaan mad (panjang pendek), ghunnah (dengung) ataupun kesalahan-kesalahan tajwid yang lain tidaklah membatalkan solat namun perlulah diperbaiki bacaan tersebut dari semasa ke semasa dengan berguru dengan mereka yang benar-benar berkelayakan.

Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Muzammil ayat 4 :

وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا 

Maksudnya: Dan bacalah Al Quran itu dengan perlahan-lahan.

Namun, perlu diambil perhatian bagi kesalahan yang dianggap sebagai Lahn al-Jaliy (kesalahan yang jelas) seperti berubah makna, huruf serta baris ayat tersebut. Kesalahan jenis ini boleh membatalkan solat. 

Berhubung kesukaran menyebut perkataan ghain, teruslah berusaha untuk menyebutnya dengan bertul. Kesalahan dengan niat kita masih berusaha untuk membacanya dengan betul adalah dimaafkan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 261

message user image