BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan Mufti,

Soalan saya adalah adakah seseorang yang telah pencen atau tidak lagi bekerja dan hanya memperolehi pendapatan melalui bonus dari instruments pelaburan tetap seperti Tabung Haji atau ASNB setiap tahun layak dikenakan zakat wang simpanan sekiranya cukup haul? Ini kerana sekiranya beliau membayar zakat wang simpanan, duit dalam instruments pelaburan tersebut akan berkurangan dan akan menjejaskan pendapatan beliau setiap tahun melalui bonus dari instruments pelaburan tersebut.

Contohnya:

A hanya mempunyai simpanan RM 100,000.00 dalam instruments pelaburan tetap dengan purata bonus 5% setahun atau RM 5000.00 setahun.

Sekiranya haul zakat wang simpanan adalah RM 20,000.00, A perlu membayar 2.5% dari RM 100,000.00 atau RM 2500.00 setahun.

Oleh itu, A hanya akan memperolehi pendapatan RM 2500.00 setahun untuk menyara kehidupannya.

Oleh itu, adakah A masih layak menunaikan zakat wang simpanan?

Mohon jawapan dari Tuan Mufti. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Hukum wang yang terdapat di dalam mana-mana tabung simpanan atau pelaburan adalah berbeza-beza dari segi takyif fiqhinya atau kedudukannya dari sudut syarak berdasarkan kepada akad serta aktiviti yang dilakukan.

Bagi Tabung Haji, akad yang digunakan adalah akad wakalah bi istismar (wakil bagi tujuan pelaburan), di mana pelanggan menyerahkan wang sebagai modal kepada pihak Tabung Haji sebagai wakil untuk dilaburkan. Atas usaha pihak Tabung Haji melaburkan wang tersebut pihak Tabung Haji berhak mendapat upah sebagai wakil dan segala keuntungan selepas ditolak upah akan diserahkan kepada pelanggan atau pelabur. Menurut pihak Tabung Haji, pihak Tabung Haji telah membuat pengiraan dan pembayaran zakat perniagaan syarikat sebelum pengagihan keuntungan kepada para pelabur. Oleh itu, adalah tidak menjadi kewajipan kepada pemegang akaun Tabung Haji untuk membayar zakat.

Mana kala bagi ASNB pula, akad yang digunakan adalah sama iaitu wakalah bi istismar (wakil bagi tujuan pelaburan). Namun aktiviti yang dilakukan adalah berbeza. Pihak pengurus dana, di dalam kes ini ASNB anak syarikat penuh Perbadanan Nasional Berhad (PNB), mengeluarkan unit-unit amanah untuk dibeli oleh pelanggan. Terdapat unit-unit amanah yang tetap harganya dan ada unit-unit yang boleh naik turun harganya. Bagi unit-unit amanah yang tetap harganya, pelanggan atau pelabur akan mendapat keuntungan berdasarkan keuntungan tahunan. Bagi unit unit-unit yang boleh naik dan turun harganya, pelanggan akan mendapat keuntungan berdasarkan kenaikan harga unit amanah tersebut serta dividen tahunan yang diberikan oleh pihak pengurus dana dalam bentuk unit amanah juga.

Bagi Pusat-Pusat Kutipan Zakat di Malaysia, terdapat 2 pandangan takyif fiqhi terhadap unit-unit saham serta unit-unit amanah ini. Sebahagian daripada mereka menganggap unit saham dan amanah ini sebagai ‘urud tijarah (barang dagangan), maka mereka menggunakan kaedah pengiraan zakat perniagaan. Mana kala sebahagian mereka menganggap unit saham dan amanah sebagai wang simpanan, maka mereka menggunakan kaedah pengiraan wang simpanan. Walaupun takyif fiqhinya berbeza, pendekatan mereka adalah sama, iaitu mengambil kira keseluruhan jumlah wang pokok atau modal serta keuntungan sebagai asas pengiraan zakat.

Walau bagaimanapun, terdapat 2 pendekatan berbeza di dalam menentukan sama ada zakat unit amanah atau saham ini dikenakan atau tidak:

1. Pendekatan last balance:  

Iaitu dengan mengambil kira jumlah nilai terakhir (termasuk modal dan keuntungan) di hujung haul. Seandainya nilai tersebut melebihi nisab, maka wajib dikenakan zakat sebanyak 2.5%. Seandainya kurang, maka tidak wajib dikenakan zakat.

Kaedah ini diguna pakai di Wilayah-Wilayah Persekutuan, negeri Selangor dan Kedah.

2. Pendekatan minimal balance:

Iaitu dengan melihat nilai terendah sepanjang tempoh setahun. Seandainya sepanjang tempoh setahun itu nilainya melebihi nisab, maka wajib dikenakan zakat terhadap nilai terakhir yang ada. Walau bagaimanapun, seandainya dalam tempoh setahun itu, terdapat satu ketika nilainya kurang dari nisab, maka tidak diwajibkan zakat pada tahun tersebut.

Kaedah ini diguna pakai di negeri-negeri selain dari 3 negeri di atas.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, adalah tidak perlu bagi pihak tuan untuk mengeluarkan zakat terhadap baki akaun di dalam Tabung Haji kerana ia telah dikeluarkan zakat berdasarkan pengakuan oleh pihak Tabung Haji.

Manakala, kaedah pengiraan yang diberikan oleh pihak tuan bagi pengiraan zakat ASNB adalah tidak tepat berdasarkan kepada amalan yang semasa Pusat-Pusat Zakat di Malaysia, kerana ia hanya mengambil kira wang modal sahaja tanpa mengambil kira keuntungan yang diperolehi. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 163

message user image