BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang hukum membetulkan gigi yg jarang. Apakah hukum jika memakai braces untuk merapatkan gigi? Apakah juga hukum membuat composite veneer/ porcelain veneer (menampal celah gigi yg jarang)? Adakah perlu saya betulkan atau tidak gigi jarang?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Islam telah meletakkan had yang dibenarkan dalam berhias iaitu selagi mana berhias untuk kecantikan yang tidak mengandungi unsur penipuan atau mengubah ciptaan Allah SWT. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud RA:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ، وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ‏

Bermaksud : "Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur bulu di wajah, mengikir gigi untuk kecantikan dan mengubah ciptaan Allah." (Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini secara umumnya menjadi hujah untuk menyatakan bahawa memakai pendakap gigi adalah sesuatu yang terlarang. Namun, ilmuan Islam telah membahagikan hukum pemakaian pendakap gigi kepada dua hukum iaitu harus dan haram. Jika dirujuk kepada umum hadis, ianya telah sabit haram sekiranya apabila ia dilakukan semata-mata untuk kecantikan dan menjadikan wajah lebih menarik.

Namun pemakaian pendakap gigi dihukumkan harus sekiranya ia bertujuan selain daripada di atas. Hukumnya harus apabila ia dilakukan untuk menutup keaiban yang ada pada wajah seseorang. Ia juga dibenarkan untuk dilakukan untuk memperbaiki kedudukan gigi yang berubah selepas berlakunya kemalangan.

Walau pemakaian pendakap gigi bergantung kepada tujuan asal si pemakai. Namun, ia bukanlah suatu kebebasan dalam membezakan yang haram mahupun halal. Allah mahukan umatNya sentiasa kemas dalam personaliti yang unggul agar tampil membawa imej Islam yang tampan dan bukannya umat Islam tidak mementingkan kecantikan. Allah SWT juga tidak menghukum umat dari terus berada dalam keaiban sepanjang hayat. Namun, Allah SWT juga mahukan umatnya belajar erti menerima sesuatu ketetapan tanpa sebarang unsur pendustaan.

Veneer gigi adalah prosedur kecantikan dari doktor gigi untuk membantu meningkatkan warna, bentuk, dan posisi gigi serta memperbaiki permukaan gigi yang rosak. Veneer gigi dibuat dari lapisan bahan nipis yang dipasang untuk menutupi permukaan depan gigi. Veneer gigi dapat bertahan hingga bertahun-tahun sebelum akhirnya rosak atau tertanggal dan perlu diganti. Veneer biasanya digunakan untuk memperbaiki gigi yang berubah warna, patah, rosak, tidak rata, tidak teratur bentuknya, atau renggang. Apabila veneer digunakan sebagai proses perubatan atau penyembuhan, seperti untuk menguatkan gigi yang terkena karies atau mengembalikan bentuk gigi yang patah karena kemalangan, maka veneer adalah diharuskan di dalam Islam. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada ‘Abdurrahman bin Tharafah berkata :

أَنَّ جَدَّهُ عَرْفَجَةَ بْنَ أَسْعَدَ قُطِعَ أَنْفُهُ يَوْمَ الْكُلَابِ، فَاتَّخَذَ أَنْفًا مِنْ وَرِقٍ، فَأَنْتَنَ عَلَيْهِ، فَأَمَرَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَاتَّخَذَ أَنْفًا مِنْ ذَهَبٍ

Bermaksud : “Bahawa datuknya Arfajah bin As’ad, hidungnya terpotong ketika perang Al Kilab. Lalu beliau membuat hidung palsu dari perak, tetapi hidungnya menjadi busuk. Nabi SAW lalu memerintahkan kepadanya (untuk membuat hidung dari emas), hingga ia pun membuat hidung dari emas.” (Riwayat Abu Daud)

Kesimpulannya , vaneer harus dilakukan dengan syarat :

1. Melakukannya dengan tujuan menjadikan atau mengembalikan keadaan gigi yang normal.

2. Hendaklah memastikan proses tersebut selamat dan tiada kesan sampingan yang memudaratkan.

3. Proses tersebut hendaklah menggunakan bahan yang diharuskan dan bukan najis.

4. Hendaklah mendapat nasihat pakar atau doktor pergigian yang bertauliah terlebih dahulu.

5. Tidak melakukan vaneer dengan niat berbangga diri dan merendahkan orang lain.

6. Tidak melakukan vaneer dengan tujuan menipu orang lain.

7. Tidak melakukan vaneer hanya untuk tujuan kecantikan. Jika dilakukan semata-mata untuk tujuan kecantikan, maka tidak diharuskan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 597

message user image