BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum saya ada kemusykilan yang sangat memerlukan jawapan. Saya ada meminta bantuan seorang kawan untuk membuat personal loan pada bank atas nama beliau. Di mana perjanjiannya loan pada bank tersebut akan saya bayar setiap bulan seperti arahan bank. Tak lama selepas dapat duit loan tersebut kawan saya meninggal dunia. Apabila beliau meninggal, loan tersebut pun di cover oleh insuran. Jadi di pihak bank isu loan ni dah pun clear. Persoalan saya, adakah wajib bagi saya untuk membayar hutang / loan yang sepatutnya saya bayar kepada bank tadi kepada waris si mati pula? Harap sangat-sangat mendapat bantuan dan pencerahan, ribuan terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد  

Merujuk kepada soalan yang diajukan, berdasarkan kenyataan yang diberikan, perjanjian yang dibuat adalah di antara tuan dan kawan tuan, yang mana kawan tuan membantu tuan untuk mendapatkan pinjaman peribadi dari pihak bank bagi pihak tuan dengan menggunakan nama kawan tuan. Ini mungkin disebabkan tuan tidak mencukupi syarat untuk membuat pinjaman tersebut. Tuan telah berjanji akan membayar balik pinjaman tersebut secara ansuran kepada pihak bank sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak bank kepada kawan tuan.

Walaupun pinjaman tersebut dibuat atas nama kawan tuan berdasarkan surat perjanjian di antara pihak kawan tuan dan bank, namun pada hakikatnya kawan tuan mahu membantu tuan mendapatkan pinjaman bagi pihak tuan. Oleh sebab itu, pinjaman tersebut adalah milik tuan dan tuan bertanggungjawab membayar semula kepada pihak bank sebagaimana yang telah disepakati oleh tuan dan kawan tuan.

Memandangkan pinjaman peribadi tersebut telah diinsurankan, iaitu jika berlaku kematian kepada peminjam, iaitu kawan tuan, pihak insuran akan membayar keseluruhan pinjaman tersebut kepada pihak bank. Ini bermakna pinjaman peribadi tersebut telah selesai pembayarannya.

Berdasarkan kenyataan di atas, tiada hubungan di antara pihak tuan dengan waris kawan tuan. Hutang itu adalah hutang tuan dengan pihak bank dengan menggunakan nama kawan tuan. Hanya peringatan kepada pihak tuan, pilihlah pinjaman peribadi berdasarkan syariah dan menggunakan perkhidmatan takaful bagi mengelakkan sebarang unsur riba, gharar dan perjudian yang dilarang oleh Islam.      
 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 161

message user image