Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan mufti. Saya ada beberapa soalan berkenaan tumakninah. 1) sepanjang rukuk, jika seseorang itu melakukan pergerakan kecil seperti menggerakkan satu jarinya, adakah rukuknya dikira tidak tumakninah? 2) jika seseorang itu lututnya bergetar semasa rukuk, adakah dikira tidak tumakninah? 3) jika seseorang itu menarik bajunya yang terlekat di bahagian peha kanannya dengan menggunakan tangan kanannya semasa iktidal kemudian sujud, semasa hendak sujud itu, seseorang itu rasa "aku sempat tumakninah ke tidak semasa iktidal tadi?" adakah boleh diteruskan solat atau perlu diri semula? 4) Adakah tumakninah hanya cukup berada dalam keadaan sesuatu rukun seperti sujud, iktidal untuk seketika atau perlu berhenti dan jadi seperti patung? Terima kasih tuan mufti.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد Tamakninah merupakan rukun solat yang wajib disempurkan oleh setiap orang yang solat bagi memastikan solat tersebut sah. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa pada suatu ketika Rasulullah SAW telah masuk ke dalam masjid lalu masuk seorang lelaki dan lantas melakukan solat dengan tergesa-gesa tanpa tamakninah. Selepas solat lelaki itu memberi salam kepada Nabi SAW lalu Nabi SAW membalas salamnya dan menyuruhnya kembali solat kerana sebenarnya dia tidak solat. Perkara yang sama berulang sehingga tiga kali. Lalu lelaki itu berkata; Demi tuhan (Allah) yang mengutuskan kamu dengan kebenaran, aku tidak tahu solat yang lebih baik melainkan apa yang engkau lihat dariku. Maka ajarkanlah aku; Rasulullah SAW bersabda; إذَا قُمْتَ إلى الصَّلَاةِ فَكَبِّرْ، ثُمَّ اقْرَأْ ما تَيَسَّرَ معكَ مِنَ القُرْآنِ، ثُمَّ ارْكَعْ حتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا، ثُمَّ ارْفَعْ حتَّى تَعْدِلَ قَائِمًا، ثُمَّ اسْجُدْ حتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا، ثُمَّ ارْفَعْ حتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا، وافْعَلْ ذلكَ في صَلَاتِكَ كُلِّهَا Maksudya: Apabila kamu bangun untuk solat maka bertakbirlah, kemudian bacalah apa yang mudah untuk kamu dari ayat al-Quran, kemudian rukuklah sehingga tamakninah, kemudian bangunlah iktidal, kemudian sujudlah sehingga tamakninah kemudian bangunlah darinya (duduk antara dua sujud) berserta tamakninah dan buatlah begitu dalam solat keseluruhannya. (Riwayat al-Bukhari) Dalam riwayat yang lain, Abu Qatadah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda; أسوأُ الناس سَرِقةً الذي يسرق من صلاتِه، قالوا: يا رسول الله، كيف يسرِقُ من صلاتِه؟ قال: لا يتِمُّ ركوعَها ولا سُجودَها، أو لا يقيمُ صُلبَه في الركوع ولا في السُّجود Maksudnya: Seburuk-buruk pencuri adalah mereka yang mencuri sesuatu dari solatnya. Para sahabat bertanya " Wahai Rasulullah, bagaimana seseorang boleh mencuri sesuatu dari solatnya? Rasulullah SAW bersabda; "Apabila dia tidak menyempurnakan rukuk, sujud atau tidak meratakan tulang belakangnya ketika rukuk dan ketika sujud. (Riwayat Ahmad) Berikut adalah jawapan kepada soalan yang diajukan. 1.Pergerakan kecil seperti menggerakkan satu jari tidak menjejaskan tamakinah tidak membatalkan solat. Namun jika ianya dilakukan tanpa sebarang keperluan maka ia dikira melakukan perkara sia-sia yang akan menjejaskan kualiti solatnya. 2.Lutut bergetar semasa rukuk tidak membatalkan solat sekiranya getaran kecil. Sekiranya getaran tersebut besar berkemungkinan kerana sakit dan tidak mampu rukuk seperti biasa maka wajib rukuk secara duduk mengikut kemampuan. 3.Syak samaada sempurna tamakninah atau tidak ketika hendak sujud, sekiranya pergerakan baru sedikit membongkok maka boleh kembali i'tidal. Namun sekiranya telah membongkok banyak, maka hendaklah meneruskan solat dan rakaat itu tidak diambil kira. Sekiranya syak itu berlaku selepas dari salam, maka ia tidak menjejaskan solat tersebut dan tidak perlu mengulanginya semula. 4.Tamakninah adalah diam sebentar dari melakukan sebarang pergerakan dengan pilihan sendiri seperti menggaru, menepuk dan melangkah. Tamakninah adalah wajib ketika rukuk, i'tidal, sujud dan duduk di antara dua sujud. Kadar minimum diam tersebut adalah sekadar dapat membezakan antara rukun yang terdahulu dan rukun yang selepasnya dengan kadar mengucap 'subhanallah' sebanyak sekali. Adapun jika berlaku pergerakan di luar pilihan seperti kelipan mata dan degupan jantung ia tidak membatalkan tamakninah. والله أعلم بالصواب
|