BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Anak saya bekerja di hospital. Ada seorang staff berbangsa cina telah memanaskan nasi goreng yang ada rencah babi didalam microwave.

Bagaimana kah cara nak samak microwave tersebut sebab ini merupakan alat elektrik

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan oleh pihak puan, berkenaan microwave yang berfungsi sebagai alat pemanas makanan, udara panas yang keluar untuk memanaskan makanan itu ia adalah dari udara panas yang suci. Jika sekiranya udara panas berkenaan itu mengandungi udara najis, disebabkan kesan daripada makanan yang dipanaskan sebelumnya itu najis, maka menurut setengah ulama, makanan yang dipanaskan selepasnya itu HARUS juga dimakan. Hal ini dikiaskan kepada roti yang dimasak dengan bahan najis yang kering dan habuknya terkena pada roti, namun roti itu harus dimakan.

Perkara ini disebutkan di dalam kitab Fath al-‘Allam yang dikarang oleh al-‘Allamah Syaikh Muhammad bin Abdullah bin Abdul Lathif al-Jardani al-Husaini al-Diyamthi (1331H) :

Ertinya : “Dan dimaafkan roti yang dibakar dengan (menggunakan bahan bakar) tahi kering ; dengan diletakkan sekeping roti di atas tahi kering selepas menyalakan apinya, atau diuli di atas tanah lapang, maka boleh dimakan roti itu dan mencebisnya pada ketika roti itu lembut walaupun terlekat padanya sedikit debu, dan tidak wajib membasuh mulut jika dia hendak bersembahyang dan sembahyangnya tetap sah dengan menanggungnya.”

Disebutkan lagi di dalam kitab yang sama :

Ertinya : “Dan jika diletakkan bejana yang mengandungi susu di atas api yang bernajis bagi memanaskan susu itu, lalu berterbangan sesuatu daripadanya ke dalam susu, (sedemikian itu) adalah dimaafkan.” Adapun asap yang sedikit mengikut ‘urf yang timbul daripada makanan yang najis adalah dimaafkan. Demikian juga dimaafkan asap yang timbul daripada kesan makanan yang dimasak (dipanaskan) dengan menggunakan bahan najis seperti tahi lembu yang dikeringkan. Adapun wap yang bukan daripada sebab pemanasan dengan api adalah suci.

Perkara ini dijelaskan oleh Imam as-Sayyid al-Bakri Rahimahullahu Ta‘ala :

Ertinya : “Dan dimaafkan yang sedikit – menurut ‘urf – asap najis, iaitu asap yang naik daripadanya (najis) dengan sebab (dibakar) dengan api, sekalipun (asap yang timbul) daripada kayu gaharu yang diletakkan di atas seumpama (bara) tahi kering.”

“Dan terkeluar (tidak termasuk) dengan (perkataan) asap najis ialah wapnya, iaitu wap yang naik daripadanya (najis) yang bukan melalui (dipanaskan/dimasak) dengan api, maka wap itu adalah suci. Termasuk dalam kategori ini ialah (seperti) udara yang keluar daripada tandas atau dubur, maka ia adalah suci. Maka jika sekiranya angin itu dipenuhkan dalam satu bekas lalu dibawa dalam sembahyang, maka sembahyang itu tetap sah.”

Berdasarkan petikan pandangan ulama di atas, jelas bahawa asap yang sedikit yang timbul dari kesan memanaskan benda najis adalah termasuk dalam hukum najis yang DIMAAFKAN. Adapun wap dari najis yang timbul bukan sebab dipanaskan dengan api ianya adalah SUCI.

Oleh itu, memakai semula microwave untuk memanaskan makanan selepas ia digunakan oleh orang bukan Islam untuk memanaskan makanan yang meragukan kehalalannya atau yang jelas haram adalah HARUS. Walaupun demikian, sebelum menggunakan microwave tersebut seeloknya makanan itu dibalut terlebih dahulu atau menggunakan bekas yang tertutup.

Adalah dengan ini dicadangkan kepada puan agar memaklumkan kepada anak supaya :

  1. Tidak berkongsi microwave adalah LEBIH UTAMA.
  2. Disyorkan membuat peraturan di pejabat agar setiap individu menggunakan bekas yang tertutup atau dibungkus ketika memanaskan makanan menggunakan microwave.
  3. Orang Islam adalah dituntut mengambil sikap wara‘ dengan berhati-hati mengguna pakai perkakas dapur termasuk microwave dan peti ais yang dikongsi dengan makanan tidak halal. Semua itu dikategori sebagai syubhah atau meragukan. Menjauhi perkara yang meragukan adalah merupakan tuntutan syara‘.

Namun, jika ketuhar itu jelas bernajis atau terkena najis melalui kesan bau, warna atau rasa, maka pada ketika ini hendaklah ketuhar tersebut dibersihkan terlebih dahulu mengikut cara-cara membersihkan najis. Di antara kaedah yang mungkin boleh digunakan adalah dengan spray air mutlak dan air yang bercampur tanah dan sponge pada tempat yang terkena najis.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 451

message user image