BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, Ustaz. Saya baru tersedar bahawa solat-solat saya sebelum ini tidak sah atas sebab² tertentu. Bagaimanakah caranya untuk qada solat-solat saya itu jikalau saya tidak tahu berapa banyak kali solat itu tidak sah?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام  ورحمة الله وبركاته 

..الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Ibadah solat merupakan ibadah yang diwajibkan kepada semua mukallaf untuk melaksanakannya pada setiap hari. Proses hisab atau perkiraan amalan seseorang hamba adalah sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ النَّاسُ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ أَعْمَالِهِمُ الصَّلَاةُ، قَالَ: يَقُولُ رَبُّنَا جَلَّ وَعَزَّ لِمَلَائِكَتِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ: انْظُرُوا فِي صَلَاةِ عَبْدِي أَتَمَّهَا أَمْ نَقَصَهَا؟ فَإِنْ كَانَتْ تَامَّةً كُتِبَتْ لَهُ تَامَّةً، وَإِنْ كَانَ انْتَقَصَ مِنْهَا شَيْئًا، قَالَ: انْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ؟ فَإِنْ كَانَ لَهُ تَطَوُّعٌ، قَالَ: أَتِمُّوا لِعَبْدِي فَرِيضَتَهُ مِنْ تَطَوُّعِهِ.

Bermaksud: “Sesungguhnya amalan manusia pertama yang akan dihisab kelak pada hari kiamat adalah solat. Allah bertanya kepada para Malaikatnya – meskipun Dia yang paling tahu – “Perhatikan solat hamba-Ku, adakah dia mengerjakannya dengan sempurna atau dia menguranginya?” Jika solatnya sempurna, dicatat sempurna, dan jika ada yang kurang, Allah berfirman, “Perhatikan, adakah hamba-Ku memiliki solat sunat?.” jika dia punya solat sunat, Allah perintahkan, “Sempurnakan catatan solat wajib hamba-Ku dengan solat sunatnya.” (Riwayat Tirmizi)

Merujuk kepada soalan yang diajukan, apa yang saudari perlu lakukan adalah bertaubat dengan sebenar-benar taubat kepada Allah swt. Menyesali atas kecuaian yang telah berlaku serta berazam untuk tidak mengulanginya.

Adapun kewajipan mengqada solat bagi solat yang ditinggalkan dengan sengaja atau tidak sah perlu dilakukan dengan segera pada bila-bila masa. Seandainya jumlah solat yang perlu diqada tidak diketahui bilangannya, maka boleh dibuat anggaran maksimum yang saudari boleh jangka. Saudari boleh mengqada solat berdasarkan jumlah anggaran tersebut mengikut kemampuan. Saudari juga boleh mengqada solat tersebut setiap kali selepas solat waktu, iaitu selepas selesai solat fardu Zohor, saudari qada solat Zohor. Begitulah seterusnya selepas solat fardu yang lain sehingga cukup jumlah anggaran tersebut.      

.والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 133

message user image