Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz
Kita di suruh menutup aib sendiri dan orang lain jadi saya ada satu soalan saya pernah mengintai orang mandi dan ingin bertaubat dengan sebenar-benarnya. Perlukah saya meminta maaf kepada mangsa kerana jika saya berbuat demikian saya bimbang kedua orang tua saya akan kecewa. Jika saya berdiam san tidak mengaku pula adakah saham dosa saya akan berterusan dan saya akan muflis di akhirat nanti ustaz. Saya buntu dan takut, harap ustaz dapat memberikan pencerahan maaf diaatas soalan yang panjang.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, keinginan saudara untuk bertaubat dengan sebenar-benar taubat sangat dituntut. Mudah-mudahan dosa tersebut diampunkan oleh Allah SWT kerana Allah Maha Pengampun sebagaimana firman-Nya dalam surah an-Nisa' ayat 106 : وَٱسۡتَغۡفِرِ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورࣰا رَّحِیمࣰا Maksudnya : “Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” Saudara perlu meminta maaf kepada orang tersebut jika dia mengetahuinya kerana urusan sesama manusia perlu bersemuka untuk mendapatkan kemaafan dan diselesaikan di dunia. Walaupun ada hati yang terluka dan kecewa. Bagi pihak mangsa perasaannya lebih-lebih lagi malu, trauma, pembenci dan seumpamanya. Adapun, jika dia tidak mengetahuinya atau tiada sesiapa yang memberitahunya maka mohonlah keampunan dari Allah SWT dan bertaubat tidak akan mengulangi perbuatan tersebut kembali, tanpa perlu meminta maaf atau menyatakan perkara tersebut kepada mangsa. Apa yang saudara boleh lakukan adalah menghadiah amalan atau pahala kepada mangsa. Seperti berniat menghadiahkan pahala bacaan Al-Quran atau sedekah kepada mangsa. Buatlah sebanyak yang mungkin sehingga saudara berasa tenang hati. Benar, aib sendiri perlu ditutup, begitu juga aib orang lain. Banyakkan beristighfar memohon keampunan kepada Allah dan perbanyakkanlah melakukan kebaikan dan amal soleh supaya menjadi tauladan dan mendapat saham yang berpanjangan di dunia dan di akhirat. والله أعلم بالصواب
|