BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamua’laikum,

Adalah difahamkan bahan HEK293 (Human Embryonic Kidney) adalah sel daripada janin manusia yang digugurkan. Apakah hukum penggunaan bahan HEK293 tersebut dalam ubat-ubatan seperti pil, cecair suntikan ataupun produk-produk kesihatan yang lain?

Sekian, terima kasih.

Nur Ismail Khalit


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Islam sangat mementingkan kesejahteraan dan kesihatan tubuh badan umatnya. Justeru, dalam aspek kesihatan, umat Islam diperintahkan supaya menjaga tubuh badan yang diamanahkan oleh Allah s.w.t agar sentiasa berada dalam keadaan sihat, di samping menyuruh umat manusia berikhtiar mencari ubat apabila dijangkiti sesuatu penyakit. Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan ingin kami nukilkan fatwa Dar al-Ifta' al-Misriyyah yang menyatakan bahawa: “Kebiasaannya sel stem akan diperolehi melalui janin yang gugur atau daripada plasenta bayi atau tali pusat atau daripada kanak-kanak atau orang dewasa, atau daripada lebihan embrio (melalui proses IVF). Justeru, mendapatkan sel stem dan membiakkannya untuk tujuan perubatan atau penyelidikan adalah harus di sisi syarak sekiranya tidak membawa sebarang kemudaratan. Dengan syarat hendaklah mendapatkan keizinan terlebih dahulu daripada orang yang menderma atau walinya.

Diharuskan juga untuk mengambil sel stem daripada tali pusat atau plasenta atau janin yang keguguran (secara spontan) atau yang digugurkan atas nasihat doktor dan sebab-sebab yang dibenarkan syarak. Dan diharuskan diambil daripada lebihan embrio. 

Namun begitu, adalah haram hukumnya apabila mendapatkan sel stem dengan cara yang haram seperti persenyawaan telur (dalam proses IVF) di antara lelaki dan perempuan yang tidak berkahwin atau sengaja melakukan keguguran untuk mendapatkannya atau tanpa keizinan penderma dan walinya terlebih dahulu.

Disebutkan juga dalam keputusan Majma’ Fiqh al-Islami: Diharuskan untuk mendapatkan sel stem, mengembangkannya dan memanfaatkannya untuk tujuan perubatan dan penyelidikan sekiranya ia diperoleh melalui cara dan kaedah yang diharuskan pada syarak iaitu seperti:

  1. Untuk mendapatkan sel stem dewasa bagi orang dewasa, hendaklah mendapat keizinan daripada penderma tersebut dan proses itu tidak membawa kemudaratan kepada dirinya:
  2. Untuk mendapatkan sel stem dewasa bagi kanak-kanak hendaklah mendapat keizinan daripada ibu bapa atau wali mereka untuk kemaslahatan dan tidak membawa kemudaratan kepada diri mereka;
  3. Untuk mendapatkan sel stem daripada uri bayi atau plasenta hendaklah mendapatkan keizinan daripada ibu bapa mereka; 
  4. Bagi lebihan embrio yang diperoleh daripada kaedah IVF, diharuskan mendapatkannya sekiranya mendapat keizinan daripada ibu bapanya, dan tidak boleh mendapatkan melalui persenyawaan yang haram; dan
  5. Haram mendapatkan janin daripada kaedah yang haram seperti janin yang digugurkan atas sebab-sebab yang bersalahan dengan ketetapan syarak dan lebihan embrio yang disenyawakan daripada lelaki dan perempuan yang tidak berkahwin.

Keputusan  Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan (MKI)  kali ke-51 pada 11 Mac 2002 juga telah memutuskan seperti berikut dalam menentukan kegunaan sel stem:

i. Pengklonan manusia untuk apa-apa tujuan sekalipun adalah haram kerana ia bertentangan dengan fitrah kejadian manusia yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T.

ii. Penggunaan sel stem bagi tujuan perubatan dalam kajian yang diambil bukan dari proses pengklonan adalah diharuskan selagi ianya tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Manakala mengikut Jawatankuasa Muzakarah kali ke 67 pada 22 Februari 2005 yang juga membincangkan hukum khusus mengenai pengklonan terapeutik dan penyelidikan sel stem telah memutuskan bahawa:

i. Pengklonan terapeutik untuk tujuan rawatan perubatan seperti mencipta sel-sel tertentu atau menggantikan organ yang telah rosak dengan mengambil kira langkah-langkah sempadan yang dibenarkan oleh syarak adalah diharuskan.

ii. Harus menggunakan embrio yang disimpan beku atau lebihan embrio daripada proses persenyawaan di luar rahim (IVF) untuk tujuan penyelidikan dengan syarat mendapat persetujuan pasangan suami isteri yang menerima rawatan dan kajian tersebut dilakukan sebelum mencapai tahap 'alaqah (blastocyst);

iii. Penyelidikan ke atas pra-embrio selain dari untuk tujuan terapeutik hendaklah mendapat kebenaran daripada pasangan suami isteri dan pra-embrio hasil penyelidikan ini, tidak boleh sama sekali ditanam dalam rahim isteri atau mana-mana wanita yang lain.

iv. Harus melakukan penyelidikan ke atas pra-embrio untuk mengetahui penyakit genetik bagi pasangan yang berisiko tinggi dan hanya embrio yang dikenal pasti bebas dari penyakit sahaja boleh ditanam ke dalam rahim ibunya dalam tempoh perkahwinan yang sah. Sebarang penyelidikan yang berunsurkan komersial yang tiada kaitan dengan kesihatan ibu atau janin adalah tidak dibenarkan.

v. Rawatan kejuruteraan genetik ke atas pra-embrio yang melibatkan pengubahsuaian sifat semula jadi seperti rambut, warna rambut, kebijaksanaan, ketinggian dan sebagainya termasuk memilih jantina adalah haram. Bagaimanapun pemilihan jantina diharuskan sekiranya faktor jantina menyebabkan suatu penyakit genetik yang serius yang boleh membawa kematian.

vi. Penyelidikan hendaklah dijalankan secara sah dan proposal penyelidikan mestilah jelas, saintifik dan dikendalikan oleh penyelidik yang benar-benar mempunyai kemahiran, amanah dan bertanggungjawab.

vii. Sel stem daripada sumber-sumber berikut adalah harus digunakan untuk tujuan rawatan perubatan dan kaji selidik:

a) Daripada seorang dewasa (sel stem dewasa) dengan izin dan prosedurnya tidak mengakibatkan mudarat.

b) Daripada seorang kanak-kanak dengan keizinan ibu bapanya dan prosedurnya tidak mengakibatkan mudarat.

c) Daripada uri dan darah tali pusat bayi dengan keizinan ibubapanya.

d) Daripada janin yang gugur secara spontan atau keguguran akibat daripada rawatan perubatan yang dibenarkan syarak dengan syarat yang mendapat keizinan ibu bapanya, bukan janin yang digugurkan secara sengaja atau digugurkan tanpa sebab-sebab perubatan yang dibenarkan oleh syarak.

e) Daripada lebihan embrio (excess embryos) yang disimpan beku daripada teknologi bantuan kesuburan IVF dengan syarat mendapat keizinan ibu bapanya. Sel stem daripada embrio yang dihasilkan secara sengaja dengan teknologi Somatic Cell Nuclear Transfer (SCNT) adalah tidak dibenarkan berdasarkan kaedah sad al-zara'i' (menutup pintu keburukan).

Selain daripada itu, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 25 Mei 2006 turut menyatakan bahawa sel stem daripada sumber-sumber yang dinyatakan di atas adalah harus digunakan untuk tujuan rawatan perubatan dan kaji selidik. 

 

Sebagai kesimpulan kepada persoalan yang dikemukakan, Jabatan ini berpandangan adalah harus menggunakan, mengembangkan dan memanfaatkan sel stem baik untuk tujuan rawatan terapeutik atau penyelidikan. Hal ini kerana rawatan transplan sel stem boleh menjadi salah satu pilihan dan ikhtiar untuk merawat pelbagai jenis penyakit dan proses rawatan ini telahpun disahkan secara klinikal berjaya iaitu antaranya lebih daripada 30 000 transplan darah tali pusat dilakukan di seluruh dunia. Setakat 2011, 4% daripada transplan penyakit darah di Malaysia menggunakan sel stem darah tali pusat.

Oleh itu, penggunaan sel stem menyuntik suatu roh yang segar dalam bidang perubatan bahkan sehingga hari ini penyelidikan tetap dijalankan secara berterusan untuk menambah baik perkhidmatan dan kajian sedia ada. Justeru ia bertepatan dengan konsep agama yang diletakkan untuk membawa kemaslahatan kepada umat manusia sejagat. Hal ini juga bertepatan dengan maqasid al-kuliyyah iaitu menjaga nyawa.

Namun begitu, keharusan  ini bukanlah bersifat mutlak. Ia mestilah mengikut ketetapan syarak dan lunas undang-undang semasa. Oleh itu di sini kami nukilkan beberapa garis panduan dalam mengambil dan memanfaatkan sel stem supaya tidak bercanggah dengan hukum-hakam syarak, di antaranya seperti berikut:

  • Daripada seorang dewasa (sel stem dewasa) hendaklah mendapat keizinan pemiliknya dan daripada seorang kanak-kanak hendaklah mendapat keizinan ibu bapanya serta prosedurnya tidak mengakibatkan mudarat.
  • Daripada uri dan darah tali pusat bayi hendaklah mendapat keizinan ibu bapanya.
  • Daripada janin yang gugur secara spontan atau keguguran atas nasihat doktor atau akibat daripada rawatan perubatan yang dibenarkan syarak dengan syarat mendapat keizinan ibu bapanya, bukan janin yang digugurkan secara sengaja atau digugurkan tanpa sebab-sebab perubatan yang dibenarkan oleh syarak.
  • Daripada lebihan embrio (excess embryos) yang disimpan beku daripada teknologi bantuan kesuburan IVF dengan syarat mendapat keizinan ibu bapanya dan hendaklah rawatan dan kajian tersebut dilakukan sebelum mencapai tahap 'alaqah (blastocyst).
  • Lebihan embrio yang diperoleh melalui IVF tersebut mestilah daripada pasangan yang berkahwin secara sah dan tidak boleh ditanam di dalam rahim wanita yang lain untuk mengelakkan berlakunya percampuran nasab.
  • Sel stem daripada embrio yang dihasilkan secara sengaja dengan teknologi Somatic Cell Nuclear Transfer (SCNT) adalah tidak dibenarkan berdasarkan kaedah sad al-zara'i' (menutup pintu keburukan) untuk mengelakkan eksploitasi dan sebarang bentuk perbuatan yang boleh mensia-siakannya.
  • Sel stem daripada sumber-sumber yang dinyatakan di atas adalah harus digunakan untuk tujuan rawatan perubatan dan kaji selidik.
  • Pengklonan terapeutik untuk tujuan rawatan perubatan seperti mencipta sel-sel tertentu atau menggantikan organ yang telah rosak dengan mengambilkira langkah-langkah sempadan yang dibenarkan oleh syarak adalah diharuskan.
  • Penyelidikan hendaklah dijalankan secara sah dan proposal penyelidikan mestilah jelas, saintifik dan dikendalikan oleh penyelidik yang benar-benar mempunyai kemahiran, amanah dan bertanggungjawab.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 140

message user image