Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang aurat wanita. Bekenaan labuhnya tudung itu ada keadaannya. Dimana jika dada itu besar atau bila mana baju yg dipakai menampakkan bentuk dada seseorang wanita wajib untuk menutup dada. Jika tidak menampakkan bentuk dada maka sunnat menutup dada. Itu yg saya tahu setelah mendengar ceramah ustaz azhar idrus. Jadi soalan saya menampakkan bentuk dada tu seperti mana? Saya perlukan penjelasan detail. Setahu saya sekiranya wanita mmpunyai saiz dada kecil, masih berkemungkinan ada sedikit timbul walaupon bentuk sebenar dada tidak terlihat. Jadi itu yg membuat saya tidak beberapa faham. Walaupon memakai tudung labuh masih juga ada kemungkinan menampakkan sedikit timbul walaupon dada tidak besar.. adakah menampakkan bentuk dada tu dimaksudkan seperti menampakkan dada secara menyeluruh atau terlihat sedikit? Mohon penjelasan yang amat detail.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
..الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan saudara, aurat wanita adalah seluruh tubuh badan melainkan muka dan tapak tangan. Maka dalam hal ini dada adalah bahagian yang wajib ditutup. Syara' menetapkan bahawa setiap wanita muslim perlu melabuhkan tudungnya hingga menutupi dada. Apa yang boleh diperjelaskan di sini adalah bukan sahaja labuh menutup dada bahkan perlulah dipastikan bahawa tidak menampakkan apa sahaja bentuk tubuh badan yang boleh terlhat dengan jelas melalui pandangan mata.
Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putra-putra mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau para perempuan (sesama Islam) mereka, atau hamba sahaya yang mereka miliki, atau para pelayan laki-laki (tua) yang tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat perempuan. Dan janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, agar kamu beruntung. Firman Allah SWT yang lain di dalam surah Al-Ahzab, ayat 59:
Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Berdasarkan kepada ayatdi atas dapat disimpulkan dijelaskan bahawa ciri-ciri pakaian menutup aurat yang dituntut oleh syara' bagi seseorang wanita itu adalah sebagaimana berikut:
1. Pakaian yang longgar, bukan pakaian yang sempit yang menampakkan susuk dan bentuk tubuh badan;
2. Pakaian yang labuh yang menutupi keseluruhan anggota aurat. Bukan pakaian yang pendek, singkat atau terbelah yang mendedahkan perut, dada, leher, tangan, kaki dan punggung;
3. Pakaian yang menutup warna kulit anggota aurat daripada kelihatan. Bukan pakaian yang nipis atau jarang yang menampakkan warna kulit dan bayang-bayang tubuh dari luar.
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, jika kita amati, memang terdapat ayat al-Quran yang memerintahkan untuk wanita-wanita melabuhkan tudung sehingga menutupi dada.Namun tetapi illah (sebab) bukan sekadar pada melabuhkan tudung tersebut, sebaliknya menutup bentuk-bentuk pada dada itu. Walau bagaimanapun, sekiranya telah berusaha mengenakan pakaian sebagaimana yang telah ditetapkan seperti di atas, masih juga menampakkan kesan bentuk dada atas sebab bentuk badan itu sendiri dan sebagainya, maka ia adalah di luar kemampuan kita dan ia adalah dimaafkan.
والله أعلم بالصواب