BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya mengenai lafaz taklik saya . . .

1) Saya telah menulis pesanan ringkas kepada isteri jika beliau mahukan perpisahan maka beliau perlu melafaz kan mahu perpisahan  serta sebab untuk perpisahan dihadapan saya serta kedua ibu bapa beliau . .  Kemudian dengan copy sms yg pertama kemudian saya tambah klausa baru iaitu dan jika di izin kan  oleh kedua ibu bapa beliau baru jatuh talak 1 . . .soalan nya adakah sebenar nya saya telah lafaz kan 2 taklik atau saya hanya lafaz 1 . . . .

2) Adakah kah saya berhak membatal kan lafaz taklik selagi belum jatuh talak

 

 

 


message user image

Jawapan  

 وعليكم السلام ورحمةالله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى الهوأصحابه أجمعين أما بعد

Menurut Mazhab Syafi’i, talak melalui kaedah tulisan dianggap sebagai talak kinayah walaupun ayat yang digunakan adalah jelas atau sorih. Ini bermakna, talak secara tulisan akan berlaku atau terjadi apabila disertai dengan niat oleh suami.

Oleh itu, talak yang dinyatakan oleh suami menerusi SMS merupakan salah satu kaedah talak secara kinayah. Berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-59 yang bersidang pada 27 Ogos 2003 telah membincangkan Perceraian Melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) seperti berikut :

1. Talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faksimili, SMS, e-mel dan sebagainya merupakan talak secara kinayah dan ianya adalah sah sekiranya disertai dengan niat.

2. Semua perceraian hendaklah dikemukakan kepada mahkamah syariah untuk menthabitkan talak tersebut.

3. Talak yang dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi moden adalah kaedah perceraian yang tidak menepati adab perceraian yang digariskan oleh syarak.

Menjawab soalan yang diberikan

  1. Berdasarkan kenyataan yang dinyatakan, SMS pertama yang dihantar kepada isteri tidak mensabitkan talak atau taklik talak. Mana kala SMS yang kedua yang dihantar kepada isteri, kami ingin melihat teks sebenar SMS tersebut. SEANDAINYA teks tersebut jelas dan sorih, mengatakan bahawa sekiranya ibu bapa isteri mengizinkan perpisahan maka jatuh talak satu, maka ia adalah taklik talak dan ia dianggap sebagai kinayah. Taklik talak itu hanya sah jika disertai dengan niat.
  2. Telah disepakati oleh semua mazhab yang empat, bahawa taklik talak yang telah dilafazkan tidak boleh ditarik balik atau dibatalkan.

Walau bagaimanapun, bagi mazhab Syafi’i, sekiranya suami telah melafazkan taklik talak dengan 3 talak, ia boleh dibatalkan dengan cara melakukan khulu’. Apabila berlaku khulu’, maka lafaz taklik talak sebelum itu akan terbatal. Suami boleh kembali kepada bekas isterinya itu dengan akad dan mahar yang baru, dengan syarat khulu’ itu bukan penceraian kali yang ketiga.   

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 150

message user image