BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,saya nak bertanya saya tersentuh najis hukmi dengan tangan yang basah dan saya memandu kereta dengan tangan yang berpeluh. Bagaimana saya nak sucikan stereng kereta saya. Kalau disiram air boleh merosakkan kereta? Saya tak mahu merosakkan kereta saya disebabkan kesilapan saya ini.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Pada asasnya najis adalah sesuatu yang kotor dan ianya perlu dibersihkan. Ini berdasarkan kepada umum perintah Nabi SAW untuk membersihkan air kencing seorang badwi yang terdapat di masjid Nabawi. Nabi SAW bersabda:

وَأَهْرِيقُوا عَلَى بَوْلِهِ ذَنُوبًا مِنْ مَاءٍ أَوْ سَجْلًا مِنْ مَاءٍ فَإِنَّمَا بُعِثْتُمْ مُيَسِّرِينَ وَلَمْ تُبْعَثُوا مُعَسِّرِينَ

Maksudnya: "Siramkanlah kencing tersebut dengan sebaldi air atau sebekas besar yang penuh dengan air. Sesungguhnya kalian diutuskan untuk memudahkan dan kalian tidak diutuskan untuk menyusahkan." (Riwayat al-Bukhari)

Merujuk kepada persoalan tuan, najis hukmi adalah najis yang telah hilang ain serta sifatnya seperti warna, bau dan rasa. Menurut mazhab Syafi'i, najis hukmi boleh berpindah dalam keadaan basah. Ini kerana tangan yang basah tersebut menjadi mutanajjis atau terkena najis karena bersentuhan dengan najis hukmi. Oleh itu, tangan yang basah telah memindahkan najis ke tempat-tempat yang telah dipegang dan ianya perlu disucikan seandainya yakin tersentuh najis hukmi tersebut.

Di antara kaedah yang mungkin boleh digunakan untuk mensucikan stereng kereta adalah dengan spray air mutlak ke tempat yang diyakini dicemari najis sehingga kelihatan air mengalir lalu lap kawasan tersebut menggunakan sponge untuk mengeringkan air. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 195

message user image