Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh,
Saya ingin bertanya tentang hukum rawatan transplantasi organ haiwan terutamanya khinzir kepada manusia pada masa kini atau biasa disebut sebagai xenotransplantasi. Apakah tanggapan Islam mengenai hal ini dan adakah terdapat perbezaan pandangan terutama daripada 4 mazhab yang sedia ada, iaitu Mazhab Syafi'e, Mazhab Hanbali, Mazhab Maliki dan Mazhab Hanafi?
Sekian, terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين الصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين ، أما بعد
Rawatan transplantasi atau pemindahan organ adalah prosedur perubatan melibatkan pemindahan organ daripada tubuh penyumbang kepada penerima yang lain bagi menggantikan organ yang telah rosak atau tidak berfungsi sama ada melibatkan sesama manusia atau haiwan. Kaedah transplantasi organ haiwan kepada manusia merupakan satu alternatif bagi mengelak daripada menggunakan organ sesama manusia bagi mengelak mudarat yang lebih besar.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, transplantasi organ haiwan yang halal dimakan adalah diharuskan dengan syarat :-
Adapun jika proses transplantasi melibatkan binatang najis iaitu binatang halal yang tidak disembelih, binatang haram dimakan dan najis berat iaitu anjing, khinzir dan yang lahir dari salah satu daripada keduanya, hukum keharusannya adalah hanya ketika dharurah sahaja iaitu ketika tiada pilihan lain dan hanya untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Allah SWT mengharamkan umat Islam untuk berubat dengan menggunakan perkara yang haram dalam beberapa riwayat hadis antaranya riwayat Abu Darda' RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda;
إنَّ اللهَ أنزَلَ الدَّاءَ والدَّواءَ، وجعَل لكلِّ داءٍ دواءً، فتَداوَوْا ولا تَداوَوْا بحرامٍ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat, dan Dia menjadikan setiap penyakit ada ubatnya, maka berubatlah, dan janganlah berubat dengan perkara yang haram.
(Riwayat Abu Daud)
Menurut hadis di atas, jelas dinyatakan berkaitan larangan berubat dengan perkara yang haram. Empat Mazhab Fiqah, Hanafi, Maliki, Syafi'i dan Hanbali sepakat bahawa khinzir atau haiwan yang lahir daripadanya adalah najis 'aini dan haram diguna atau dimanfaatkan. Justeru itu, kaedah rawatan transplantasi organ haiwan yang najis seperti khinzir adalah haram kecuali ketika dharurah.
والله أعلم بالصواب