BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.. Nama saya Valerie Christie anak Rongai berbangsa bidayuh asal Sarawak. Dan telah memeluk agama islam beberapa tahun yang lepas. Setelah memeluk agama Islam saya, saya kekalkan nama tersebut. Akhir akhir ni ada seseorang mempersoalkan nama saya. Kenapa tidak tukar anak kepada binti. Maksudnya saya perlu tukar nama daripada Valerie Christie "ANAK" Rongai kepada Valerie Christie "BINTI" Rongai. Di sini saya ingin bertanya, adakah wajib untuk saya menukar dari ANAK ke BINTI? 

Terima kasih. Diharap pihak tuan dapat memberikan jawapan untuk saya lebih jelas lagi tentang isu nama ni. 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk persoalan daripada puan, tidak menjadi kewajipan bagi puan yang masuk agama Islam menukar nama daripada Valerie Christie "ANAK" Rongai kepada Valerie Christie "BINTI" Rongai. Ini kerana, Nabi SAW diutuskan kepada manusia bukan untuk menukar bahasa manusia tetapi membetulkan aqidah dan cara hidup sebagai seorang Islam. Oleh itu, nama dalam bahasa apa pun dalam dunia ini tidak menjadi kesalahan selagi tidak mempunyai maskud yang keji, hina, syirik (ketuhanan dalam agama lain) dan sebagainya. Di samping itu, kad pengenalan yang lama hendaklah ditukar baru (status Islam) agar tidak berlaku pertikaian dikemudian hari seperti perkahwinan, harta pusaka atau perebutan jenazah apabila meninggal dunia.

Jika sebelum Islam namanya menggunakan nama Inggeris atau Jepun atau Cina atau India umpamanya dan tidak ada maksud yang tidak baik jika diterjemahkan maka tidak mengapa kekal dengan nama lamanya itu. Tetapi jika ditukar juga dengan nama-nama Nabi dan seumpamanya maka ia adalah elok.

Adapun jika namanya mempunyai pengertian yang tidak baik maka perlulah ditukar sekalipun nama yang berbahasa arab.

Dalam hadis Abu Daud :

وَغَيَّرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْمَ الْعَاصِ وَعَتَلَةَ وَغُرَابٍ وَحُبَابٍ وَشِهَابٍ وَحَرْبًا

Maksudnya: “Dan pernah Nabi  SAW menukar nama Al-‘Ass (degil) dan ‘Atalah (nama syaitan) dan Ghurab (gagak) dan Hubab (nama ular) dan Syihab (nyalaan api) dan Harbun (perang).

Kesimpulannya tidak wajib menukar nama asal ketika belum Islam selagi namanya itu bermaksud baik. Dan jika nama asal bermaksud tidak baik maka hendaklah ditukar sekalipun nama orang yang sedia beragama Islam.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 156

message user image