Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ada menyertai satu laman web iaitu 2captcha. Laman web ini menyediakan perkhidmatan bagi menyelesaikan captcha yang dihantar oleh 'client' kepada mereka. Seterusnya akan diagihkan kepada 'worker' untuk diselesaikan. Para worker pula akan dibayar mengikut apa yang telah dibuat. Persoalan saya, apakah hukum duit yang diterima dari kerja ini? Diharap pihak tuan/puan dapat menjawab persoalan ini. Sekian terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Untuk pengetahuan, antara syarat diharuskan mengambil upah dari sesuatu pekerjaan adalah:
Captcha atau Completely Automated Public Turing test to tell Computers and Humans Apart merupakan satu sistem keselamatan yang digunakan oleh pemilik laman sesawang untuk mengenal pasti seseorang pengguna komputer itu sama ada ia merupakan manusia atau komputer/robot. Di dalam sistem itu terdapat kod, yang terdiri sama ada angka atau huruf, atau gabungan di antara keduanya, atau gabungan gambar-gambar tertentu, yang perlu ditaip semula atau membuat pilihan gambar tertentu. Seandainya kod itu benar, maka pengguna tersebut dibenarkan untuk melayari laman sesawang berkenaan.
Terdapat syarikat yang menawarkan perkhidmatan untuk melakukan aktiviti tersebut bagi memudahkan pengguna memasuki laman-laman sesawang tertentu dengan memberikan ganjaran atau upah tertentu iaitu laman sesawang 2captcha.
Sepanjang pengetahuan kami, berdasarkan penyelidikan ringkas yang kami lakukan, hukum pekerjaan yang ditawarkan oleh laman sesawang 2captcha, iaitu syarikat menawarkan bayaran atau upah tertentu berdasarkan tugasan menyelesaikan kod captcha yang diberikan secara umum adalah diharuskan. Walau bagaimanapun, seandainya dapat diketahui bahawa kod captcha itu digunakan untuk laman-laman sesawang yang mempromosikan perkara atau aktiviti yang bercanggah dengan ajaran Islam seperti pelacuran, arak, perjudian dan sebagainya, maka upah pekerjaan tersebut adalah haram.
والله أعلم بالصواب