BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

ASSALAMUALAIKUM saya ada pertanyaan harap boleh membantu permasalahaan saya ini.

1. Sewaktu di tandas kaki saya terkena air kencing lalu saya menjirus air paip yang mengalir pada kaki saya tanpa menggosoknya dan ketika itu saya yakin kaki saya sudah bersih dan suci, saya pun keluar dari bilik air. Tiba-tiba dalam perjalanan menuju ke depan was-was saya datang, kaki saya rasa pelik seperti melekit saya tidak pasti disebabkan lantai yang saya pijak atau atau hanya perasaan saya jadi saya pun mengambil keputusan untuk mencium kaki saya dan saya dapati masih ada baunya. Persoalanya adakah semua tempat yang saya lalui itu dihukumkan najis. Sekarang saya rasa satu rumah sya najis. saya ingin menegaskan di sini, sebenarnya saya ada penyakit was-was yang sangat kritikal. Mintak bantuannya ya.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Said bin Musayyab bahawa terdapat seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW yang dia ragu-ragu sama ada keluar sesuatu (terkentut) ketika solat, lalu baginda SAW bersabda:

«لاَ يَنْفَتِلْ - أَوْ لاَ يَنْصَرِفْ - حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا»

Bermaksud: “Janganlah kamu berpindah – atau pergi – sehingga kamu mendengar bunyi atau mencium bau (kentut)”. (Riwayat Al-Bukhari).

Di hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

«إِذَا وَجَدَ أَحَدُكُمْ فِي بَطْنِهِ شَيْئًا، فَأَشْكَلَ عَلَيْهِ أَخَرَجَ مِنْهُ شَيْءٌ أَمْ لَا، فَلَا يَخْرُجَنَّ مِنَ الْمَسْجِدِ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا، أَوْ يَجِدَ رِيحًا»

Bermaksud: “Apabila seseorang di antara kamu merasakan sesuatu dalam perutnya kemudian dia ragu-ragu apakah dia mengeluarkan sesuatu (kentut) atau tidak maka janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid kecuali ia mendengar suara atau mencium baunya”. (Riwayat Muslim).

Dari dua hadis di atas, menunjukkan bahawa ragu-ragu atau syak tidak boleh dijadikan sandaran hukum. Ini dikukuhkan dengan firman Allah SWT di dalam surah Yunus: 36:

إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

Maksudnya: “Sesungguhnya zhan (sangkaan) tidak dapat menandingi/mengatasi kebenaran walau sedikit pun”.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, puan telah meyakini bahawa kaki puan telah dibersihkan dan suci terlebih dahulu daripada najis air kencing sebelum keluar dari tandas. Berdasarkan kepada hadis serta ayat al-Quran di atas, kaki puan telah bersih dan suci daripada najis atas keyakinan puan. Ini adalah kerana asal sesuatu itu adalah suci, sehingga kita yakin ia adalah najis. Namun jika diyakini masih terdapat najis pada kaki puan berdasarkan baunya, maka ia perlu dibersihkan dan disucikan semula dan tempat yang dilalui atau dipijak tersebut perlu disucikan dengan dialirkan air mutlak pada tempat yang DIYAKINI SAHAJA terkena najis dan dikeringkan dengan kain atau mop.

Ini dikuatkan dengan kaedah Fiqh yang berbunyi:

الْأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Bermaksud: “Pada asasnya, (hukum) sesuatu itu kekal mengikut keadaan (hukum) asalnya”.

Hukum asal sesuatu itu adalah suci, maka ia akan terus kekal suci. Manakala najis itu sifat atau keadaan yang mendatang, maka ia perlu dibuktikan dengan keyakinan, dan bukan ragu-ragu. Perasaan tidak yakin atas sesuatu itu merupakan penyakit  was-was pada diri puan yang perlu dielakkan dan dijauhi bagi  menggelakkan permasalahan yang lebih berat kepada diri puan pada masa akan datang. Perasaan was-was itu adalah gangguan dari syaitan. Para ulama’ amat mengambil berat mengenai penyakit ini kerana jika dibiarkan berlarutan boleh menjadi sesuatu yang lebih kronik kerana ianya penyakit yang berkaitan dengan jantung hati.  

Berdoalah kepada Allah SWT semoga kita dijauhi dari penyakit was-was ini

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 123

message user image