Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Ada ustaz yang memberi tazkirah mengatakan bahawa orang yang terus bangun (beredar) sesudah salam, sebelum imam memusingkan badan ke kanan semasa wirid, akhirat kelak kepalanya akan dibangkitkan berkepala keledai. Benarkah ada hadis sesemikian, atau apakah hadis-hadis yang berkaitan dengan perkara tersebut. (Harap mendapat jawapan)
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Berdasarkan persoalan yang diajukan, Jabatan ini tidak menjumpai sebarang riwayat hadis sebagaimana yang diperkatakan oleh penceramah tersebut. Walau bagaimanapun terdapat larangan kepada makmum agar tidak mendahului imam semasa solat sebagaimana hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Tidakkah takut orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam, Allah akan mengubah kepalanya menjadi kepala keldai?” (Riwayat Muslim)
والله أعلم بالصواب