Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t.
Saya ada menerima tawaran kerja dari syarikat Rakuten Trade Sdn Bhd yang menyediakan platform untuk membeli saham syarikat Malaysia (BURSA) secara atas talian.
Soalan saya : Bolehkah saya bekerja di syarikat tersebut?
Terima kasih banyak ustaz.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين الصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين ، أما بعد
Pekerjaan merupakan peluang yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada seseorang bagi mengukuhkan ekonomi seseorang dalam melaksanakan tanggungjawab nafkah kepada diri dan keluarga serta dapat mengindarkan diri dari sikap meminta-minta.
Namun pekerjaan tersebut hendaklah memenuhi syarat yang telah digariskan menurut Hukum Syarak dengan menjauhi perkara syubhah dan haram.
Seorang sahabat bernama al-Miqdam bin Ma'di Karibi RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda;
ما أكَلَ أحَدٌ طَعامًا قَطُّ، خَيْرًا مِن أنْ يَأْكُلَ مِن عَمَلِ يَدِهِ، وإنَّ نَبِيَّ اللَّهِ داوُدَ عليه السَّلامُ، كانَ يَأْكُلُ مِن عَمَلِ يَدِهِ
Maksudnya: Tidaklah seseorang itu makan makanan yang lebih baik dari hasil usahanya sendiri. Sesungguhnya nabi Allah Daud AS makan hasil usahanya sendiri.
(Riwayat al-Bukhari)
Merujuk kepada soalan yang diajukan, Bursa Malaysia atau nama lamanya Bursa Saham Kuala Lumpur BSKL merupakan satu platform diibaratkan seperti ‘pasar’ yang menjadi tempat jual beli saham antara orang awam (pelabur) dan syarikat (pemilik perniagaan). Hukum membeli saham pada asalnya adalah sama dengan hukum bersyarikat atau musharakah atau rakan kongsi. Ia adalah harus menurut Hukum Syarak. Oleh itu, bekerja dengan syarikat seperti syarikat yang tuan nyatakan iaitu syarikat Rakuten Trade Sdn Bhd, yang berurusan dengan membuat pembelian dan penjualan saham di bursa saham seperti Bursa Malaysia adalah diharuskan.
Walau bagaimanapun, keharusan berurusan jual beli saham bergantung kepada jenis saham tersebut. Umat Islam hanya dibenarkan untuk membeli saham yang patuh syariah dan dilarang dari membeli saham tidak patuh syariah kerana ia melibatkan riba, gharar dan judi.
والله أعلم بالصواب