Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya tak tahu ustaz...sy solat sunat taubat selepas solat subuh...sy rujuk balik ia adalah waktu haram... macam mana sy nk buat untuk menebus dosa sy ustaz....
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Solat taubat adalah sejenis solat sunat yang boleh dipraktikkan oleh seseorang untuk memohon keampunan daripada Allah SWT. Oleh kerana sudah menjadi lumrah manusia untuk melakukan kesilapan dan berbuat dosa, maka Allah S.W.T. yang maha pengampun telah memberikan kita satu hadiah ataupun anugerah yang tidak ternilai untuk menyucikan diri kita daripada dosa-dosa. Hadiah ini adalah taubat dan pengampunan. Dalam melaksanakan solat taubat ini, beberapa waktu telah dilarang untuk kita melakukannya seperti solat selepas waktu subuh, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas RA :
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW, telah melarang dari melakukan solat (sunat) selepas solat subuh sehingga terbitnya matahari dan selepas solat asar sehingga terbenamnya matahari. (Riwayat Al-Bukhari)
Untuk itu, mohonlah keampunan kepada Allah SWT terhadap dosa yang dilakukan kerana Allah SWT maha berkuasa dan maha pengampun terhadap segalanya.
Firman Allah SWT dalam Surah Az-Zumar ayat 53 :
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”
Di samping itu, perbanyakkanlah istighfar dan serahkan sahaja urusan kesilapan yang telah berlalu kepada Allah SWT. Yakinlah dengan pengampunan dan rahmat Allah SWT.
Adalah disarankan berdasarkan kepada mazhab Syafi’i, untuk puan mengamalkan solat sunat al-Awwabin. Al-Awwabin bermaksud orang-orang yang sentiasa bertaubat. Waktunya adalah di antara selepas solat fardu Maghrib hingga masuk waktu Isya’. Sekurang-kurangnya 2 rakaat dan sebaik-baiknya 6 rakaat dengan 3 kali salam.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.