Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ada pertanyaan berkenaan mandi wajib.
Dikulit kita ada kulit yang mengelupas and bahagia kulit yang terkoyak. Kulit mengelupas ini kelihatan tompokan kulit-kulit yang kering. Perlukah ratakan air kebahagian bawah kulit sbb kulit itu agak sukar dikoyak.
Mohon pencerahan
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Antara salah satu rukun mandi wajib adalah meratakan air ke seluruh badan termasuk kulit, bahagian pusat dan bulu-bulu yang ada di badan. Maka wajib menghilangkan terlebih dahulu sebarang bendasing atau kotoran yang dapat menghalang air dari sampai ke kulit. Walau bagaimanapun sekiranya bendasing atau kotoran tersebut sukar untuk ditanggalkan secara sempurna setelah berusaha sedaya upaya menanggalkannya tanpa memudaratkan diri, seperti cat mahu pun gam, maka ia dimaafkan.
Merujuk kepada persoalan tuan, cukup dengan meratakan air sedaya yang mampu, tidaklah perlu dikoyakkan kulit itu kerana itu sudah menyakitkan diri. Maka mandi wajib tuan sudah sempurna dan sah.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.