BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya ingin bertanyakan mengenai pemberian zakat kepada golongan bukan Islam. Seperti mana yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam pada 6-8 September 2007, memutuskan bahawa pengagihan zakat perlu diberi keutamaan kepada umat Islam mengikut asnaf-asnaf yang telah ditetapkan. Walau bagaimanapun, pemerintah diharuskan memberi zakat kepada bukan Islam berdasarkan siasah dan keperluan secara hikmah bagi tujuan dakwah (JAKIM, 2015). Jadi soalan saya, adakah akan berlaku sebarang perubahan pada fatwa tersebut jika terdapat unsur mendesak dan kecemasan seperti keadaan covid? Adakah jika terdapat golongan bukan Islam yang memohon bantuan zakat dalam waktu wabak ini, adakah permohonan mereka akan diterima disebabkan elemen darurat tersebut atau akan ditolak disebabkan kekufuran mereka? Mohon penjelasan ustaz. Jazakallahu khairan jaza'.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Sebarang fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri mungkin boleh merubah atau ditambahbaik setelah melihat kepada kajian dan keadaan yang menepati kehendak syarak serta keperluan semasa.

Dalam konteks persoalan berkaitan keharusan memberi zakat kepada bukan Islam ketika suasana pandemik Covid19 ini, ia adalah tergantung kepada pihak berkuasa agama negeri-negeri setelah mendapat pandangan dari Jawatankuasa Fatwa Negeri masing-masing.

Sehingga kini, tiada perubahan terhadap keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam pada 6-8 September 2007 yang mengharuskan PEMERINTAH memberi zakat kepada bukan Islam berdasarkan siasah dan keperluan secara hikmah bagi tujuan dakwah tanpa mengabaikan kemaslahatan dan kebajikan para asnaf. Walau bagaimanapun, keharusan tersebut hanya diberikan kepada pihak pemerintah yang berautoriti terhadap pengurusan zakat dan bukannya indivitu atau institusi yang tidak berautoriti. Ini bagi memastikan kemaslahatan dan kebajikan para asnaf terjamin dan dilindungi.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 152

message user image