Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum...
Ada kemusykilan berkenan kasut kulit babi..
1) Kalau kita berjalan, kain atau seluar terkena kasut kulit babi yg dipakai oleh org yg lalu sebelah kita.. (cuma tau kasut brand tu ada yg material kulit babi tapi tak pasti)
2) Kawan bukan islam datang rumah, memakai kasut yg material kulit babi (bahagian lining dalam) kaki @ stokin memijak masuk dalam rumah... Adakah perlu samak dalam rumah? Sama ada stokin basah (mungkin berpeluh) atau kering
Boleh beri penjelasan. Terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan puan,
1) Asal kepada sesuatu yang bersih itu kekal dianggap suci sehingga terbukti secara yakin ia telah dicemari oleh najis samada melalui ain, warna dan rasanya. Ini berdasarkan kepada kaedah fiqah:
الأصل في الأشياء الطهارة
Maksudnya: "Asal hukum sesuatu perkara itu adalah suci".
Oleh itu, sekiranya sedang berjalan, kain atau seluar terkena kasut kulit babi yang dipakai oleh orang yang lalu di sebelah puan dan secara andaian bahawa orang tersebut memakai kasut dari kulit babi adalah tidak bernajis ke atas pakaian puan. Ini kerana andaian ataupun syak tidak mengubah status asal yang suci.
2) Jika puan mengandaikan kawan bukan Islam datang ke rumah dengan memakai kasut dari material yang diperbuat daripada babi, maka ianya tidak mendatangkan najis ke atas lantai rumah puan apabila kawan tersebut memijaknya tidak kira samada kakinya dalam keadaan kering atau basah sebab berpeluh. Ini kerana andaian ataupun syak tidak mengubah status asal yang suci dan tidak perlu disertu rumah puan. Tidak perlu juga untuk bertanya sama ada kasut yang dipakainya diperbuat daripada bulu atau kulit babi atau bahan bernajis.
Disarankan kepada puan agar tidak membuat sebarang andaian yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri puan berkenaan najis. Adanya najis itu perlu diyakini dengan terdapatnya ain, warna dan rasa samada pada tempat, pakaian atau kawasan tersebut. Janganlah kita melayan perasaan dengan andaian-andaian yang akhirnya akan menyusahkan kita sendiri.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.