Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,
Was-was Saya datang kembali,Saya adalah seorang wanita. sewaktu saya terjaga dari tidur Saya mersakan lembapan pada kemaluan Saya tapi Saya tidak pasti ada kah kain Saya terkena lembapan tersebut. Saya mengambil keputusan untuk menggunakan pantiliner. Selepas itu saya membasuh tangan tanpa menggantikan kain yang Saya pakai itu. Lalu Saya lap tangan Saya yang basah pada kain tersebut. Automatic kain Saya menjadi basah. Saya was-was selepas Saya pegang kain tersebut adakah najis atau tidak. Lalu Saya memegang barang-barang lain. Jadi barang tersebut najis atau tidak. Lalu barang-barang tersebut terkena barangan lain.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Berdasarkan kepada persoalan puan, oleh kerana dari awal lagi puan sendiri tidak pasti sama ada lembapan itu terkena pada kain atau tidak, maka ia tidak boleh dihukumkan kenajisannya. Ini adalah kerana hukum asal sesuatu itu adalah suci. Ini berdasarkan kepada kaedah fiqah:
"Hukum asal setiap sesuatu itu adalah suci".
Keputusan tidak boleh dibuat dalam keadaan ragu-ragu atau was-was. Justeru, kain yang puan pakai itu dianggap tidak bernajis. Begitu juga dengan tangan yang basah yang puan lap pada kain, kemudian puan pula memegang barang-barang lain juga tidak bernajis, dengan maksud lain, tiada najis yang berpindah antara satu tempat kepada tempat yang lain. Adalah penting untuk kita mengambil langkah berhati-hati dengan memastikan kesucian anggota badan dan pakaian daripada awal. Ini bagi mengelakkan kita berasa was-was di kemudian hari.
والله أعلم بالصواب