Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, kemusykilan saya adalah berkenaan status ihram dan cara memperbetulkannya. Sekitar 2015, saya telah melakukan umrah bersama keluarga. Apabila pulang, terdapat kegusaran di mana sebelum saya pergi ke Makkan, saya dalam keadaan junub dan telah mandi wajib. Namun, kejahilan saya ketika itu adalah beranggapan pusat bukan anggota zahir untuk digosok dan diratakan air. Maka, setelah saya mempelajari cara yang betul, saya tertanya-tanya berkenaan status umrah saya samaada sah atau tidak serta status ihram saya.
Sekiranya tidak sah dan masih dalam ihram, bagaimana hendak membetulkannya memandangkan saya juga dalam kesempitan wang untuk melakukan umrah dan pada masa yang sama saya dalam perancangan untuk bernikah pada 2023.
Mohon panduan.
Jawapan
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Sekiranya air mandian mandi wajib saudara pada tahun 2015 itu diyakini telah membasahi keseluruhan tubuh badan yang zahir, maka sahlah mandi wajib tersebut. Ini kerana, jika air dicurahkan ke bahagian perut sudah tentu akan mengenai pusat juga.Tidak perlu gusar lagi. Kegusaran itu adalah bisikan syaitan. Justeru, abaikan perasaan tersebut. Semoga ibadah umrah yang dilakukan sebelum ini diterima oleh Allah SWT dan dihitung sebagai satu amal soleh.
والله أعلم بالصواب