Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Ada seorang ustaz beritahu amalan untuk 'cukup rezqi'. Caranya dengan baca 3 surah tanpa huruf 'qaf' iaitu surah Al-Asr, Quraysh dan Al-Falaq. Beliau sandarkan amalan itu dengan nabi Muhammad SAW.
Soalan : adakah terdapat hadis yg sedemikian? Jika ada, apakah status hadis tersebut.
Mohon pencerahan. Terima kasih.
Assalamualaikum.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد ِAl-Quran merupakan wahyu Allah SWT yang memiliki keberkatan dan kelebihan yang tersendiri serta memberi kesembuhan dan kelapangan kepada pembacanya dan orang yang mengamalkannya. Firman Allah SWT dalam surah al-Israa' ayat 82; وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا Maksudnya : Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang lalai melainkan kerugian. Mudah-mudahan dengan memperbanyakkan membaca ayat Al-Quran dapat memberi kesembuhan dan kelegaan dalam hati orang yang beriman sehingga mampu berasa cukup dengan nikmat yang dikurniakan dan mudah-mudahan dengan rahmat Allah SWT akan membuatkan rezeki pembaca Al-Quran diberkati dan dilipat ganda bukan setakat di dunia bahkan di akhirat nanti. Adapun amalan membaca 3 surah iaitu surah al-Asr, Quraysh dan al-Falaq khusus untuk mencukupkan rezeki, tiada riwayat yang jelas mengatakan amalan ini sabit dari Rasulullah SAW. Namun demikian, harus bagi seseorang untuk mengamalkannya dengan mengharapkan keberkatan 3 surah tersebut dapat mencukupkan rezeki namun tidak boleh disandarkan amalan tersebut kepada Rasulullah SAW jika selagi tiada riwayatnya. والله أعلم بالصواب
|